SEMUA atlet tanpa mengira status sebagai pemenang pingat atau sebaliknya, kesemua 30 wakil negara yang bertanding pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini tetap diberikan penghargaan yang sama oleh Teh Tarik Place.
Restoran tempatan yang mempunyai lebih daripada 14 cawangan di seluruh negara dan dua di Brunei itu tampil dengan inisiatif memberikan teh tarik serta produk makanan percuma sepanjang hayat buat 30 atlet berkenaan.
Ia sebagai penghormatan atas sumbangan mereka yang berjuang penuh semangat untuk memastikan bendera Malaysia berkibar megah sepanjang temasya sukan berprestij dunia itu berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos lalu.
Pengerusi Eksekutif Techna-X, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar menjelaskan, atlet harus berbangga dengan pencapaian mereka selepas berlatih bertahun-tahun semata-mata untuk layak ke pentas Olimpik.
“Kami mengakui pengorbanan, semangat dan dedikasi yang telah ditunjukkan oleh kesemua barisan atlet negara walaupun ada yang meragui.
“Atlet juga jangan risau mengenai buli siber kerana ia sentiasa berlaku bukan sahaja dalam sukan. Ia datang daripada kelompok minoriti tetapi majoritinya berbangga dengan kejayaan anda,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Craveat International, Lee Yew Jin turut menyatakan penghargaannya kepada semua atlet negara atas usaha dan semangat juang mereka pada Olimpik Tokyo 2020.
“Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih, kami mengumumkan pemberian seumur hidup berupa teh tarik serta produk makanan kepada semua Olimpian Malaysia (pada Olimpik Tokyo 2020),” jelasnya.
Pingat perak berjaya dimenangi jaguh berbasikal trek, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang dalam acara keirin, manakala gangsa disumbangkan melalui sukan badminton menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. – K! ONLINE