PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan setakat ini tiada laporan berkaitan kluster baharu didakwa tercetus berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka, Kuala lumpur pada 31 Julai lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sehubungan itu, pihaknya masih menyiasat dakwaan yang tular dalam media sosial kononnya ada kes positif dalam kalangan peserta perhimpunan.
“Ada laporan yang telah kita terima mengatakan salah seorang yang pergi ke tapak demonstrasi telah dijangkiti.
“Tetapi KKM tidak dapat sahkan dan tak dapat memastikan kesahihan berita itu. Jadi siasatan masih dijalankan dan setakat ini tiada laporan berkait kluster demonstrasi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Pada 31 Julai lalu, Kosmo! melaporkan, perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ itu disertai kumpulan berbaju hitam berarak ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Orang ramai turut mengecam perbuatan penganjur dan peserta perhimpunan tersebut kerana negara masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19. -K! ONLINE