fbpx

Pandin Bruyne jaguh Liga Fantasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IRFAN atau dikenali sebagai Pandin Bruyne akan menjadi pakar tip untuk Liga Fantasi Kosmo! sepanjang 38 perlawanan EPL yang dijangka berakhir Mei 2022.

Oleh SITI NURHEZZATY MOHAMAD HAMDAN

SAINGAN Fantasi Premier League (FPL) musim lalu berjaya menggemparkan seluruh Malaysia apabila seorang wakil negara menggunakan nama pa­sukan Championez FC berjaya me­ngumpul antara mata keseluruhan terbanyak dan menempatkan diri dalam kelompok 20 terbaik dunia.

Sebagai makluman, Irfan Burhanuddin atau dikenali sebagai Pandin Bruyne akan menjadi pakar untuk menganalisis, meramal serta menyediakan maklumat dan tip berguna pada setiap minggu kepada para pemain Fantasi Liga Kosmo! sebagai rujukan bagi memburu mata tertinggi untuk pasukan masing-masing.

Mengimbas kembali FPL musim lalu, penyertaan Pandin Bruyne berjaya membanggakan Malaysia apabila bertarung sengit selama 38 minggu untuk menamatkan saingan musim lalu di ranking ke-17 FPL dunia.

Ia secara tidak langsung me­nyaksikan pemuda berusia 26 tahun dari Sungai Petani, Kedah itu muncul pemain terbaik di ran­king No. 1 Malaysia.

PENCAPAIAN Pandin Bruyne di kedudukan No. 1 di Malaysia dan No. 17 peringkat global dalam permainan Fantasy Premier League musim lalu.

Menurutnya, pencapaian itu tidak diraih dengan mudah, malah agak kecewa kerana taktiknya tidak berkesan apabila tersilap memilih pemain ketika mahu memastikan dirinya berada dalam zon selamat dalam carta rasmi liga dunia FPL.

“Jika saya mengharapkan pemain lain sewaktu pusingan terakhir (minggu ke-38), mungkin saya boleh terus berada dalam kedudukan 10 teratas atau muncul antara lima terbaik dunia.

“Saya tersilap taktik kerana cuba memilih Mohamed Salah (penyerang Liverpool) untuk cuba menyelamatkan pasukan. Saya agak kecewa ketika itu dan saya pasti pemain lain yang memilih Salah juga turut merasai perasaan sama.

“Contohnya, Ola Hovde pada minggu sebelumnya dia berada di kedudukan pertama dunia tetapi jatuh di kedudukan ke-10 akibat kesilapan sama yang dilakukan,” katanya.

IRFAN atau dikenali sebagai Pandin Bruyne merupakan seorang penuntut Ijazah Sarjana dalam jurusan kewangan.

Mata yang berjaya dikumpul Irfan secara keseluruhan musim lalu adalah sebanyak 2,632 mata, dibezakan 48 mata sahaja de­ngan kedudukan No.1 dunia iaitu Michael Coone yang memperoleh 2,680 mata.

Begitupun, Irfan tetap berbangga dan menghargai segala usahanya kerana pernah menduduki tangga pertama dunia pada satu ketika walaupun terpaksa mengakhiri saingan FPL musim lalu di tempat ke-17 ke­seluruhan.

Penuntut Ijazah Sarjana dalam jurusan kewangan itu berkongsi rahsia kejayaannya memiliki nama sebagai pemain No.1 Malaysia adalah kerana sikap konsistennya.

Irfan yang kini menetap di Kuala Lumpur, juga menyifatkan faktor luar padang dalam setiap pasukan EPL perlu diambil kira sama ada dari segi kecederaan atau elemen-elemen lain yang memungkinkan seseorang pemain itu tidak diturunkan.

“Bagi saya untuk mencapai tahap ini adalah konsis­ten dan berte­rusan mela­kukan penyelidikan mengenai pemain-pemain yang berpotensi memberikan banyak mata.

“Kemungkinan yang bakal berlaku juga kita perlu ambil kira memandangkan sekarang kita berdepan bencana Covid-19 dan faktor ini menyebabkan pemain itu mungkin tidak dapat diturunkan dalam sesuatu perlawanan.

“Konsisten dari awal dengan mengenali pemain-pemain daripada menonton bola, analisis kekuatan mereka supaya kita tahu pemain mana boleh beraksi dengan baik.

“Selalunya saya akan membuat keputusan saat-saat akhir bagi mengelakkan kesilapan memilih pemain terlalu awal dan terlepas maklumat-maklumat baharu,” jelasnya.

Sebagai rekod, Irfan memilih tidak melibatkan diri dalam saingan Fantasi Euro 2020 berikutan kekangan masa, namun sedia kembali mempertahankan kedudukannya sebagai No. 1 Malaysi bagi saingan FPL musim ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI