PETALING JAYA – Northport (Malaysia) Bhd. (Northport), ahli kumpulan MMC, telah menyumbang sebanyak 2,000 bekalan makanan asas kepada masyarakat yang memerlukan bantuan di Klang bulan lalu.
Sumbangan tersebut telah dijayakan bersama lebih 20 masjid dan badan bukan kerajaan (NGO) di sekitar Klang untuk mengenal pasti penerima yang berkelayakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, sebagai organisasi korporat yang bertanggungjawab, Kumpulan komited untuk terus membantu komuniti dan petugas barisan hadapan dalam mengharungi masa sukar ini.
“Saya percaya bahawa kita akan dapat keluar dari krisis kesihatan ini bersama-sama,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Northport juga telah menyumbang peralatan perubatan kepada Pusat Kesihatan Pelabuhan Klang untuk kemudahan pusat saringan Covid-19.