Oleh IRFAN BURHANUDDIN
SAINGAN Fantasi Premier League (FPL) kini kembali bagi musim baharu 2021/2022 yang menyaksikan perjuangan memburu kejuaraan liga kembali hangat.
Semua pengurus sudah tentunya sedang sibuk merancang dan mengenalpasti pemain-pemain yang patut dimiliki dalam pasukan mereka sendiri untuk meraih lebih banyak mata terutama pada aksi pertama yang bermula awal pagi esok.
Walaupun dengan situasi pandemik Covid-19 yang masih menular di England, namun kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) tetap bakal berlangsung dengan kehadiran penyokong-penyokong pada tahap minima.
Kosmo! kali ini berkongsi tips bagi senarai pemain yang boleh dipertimbangkan oleh setiap pengurus FPL untuk menghadapi perlawanan minggu pertama yang akan bermula awal pagi esok.
PENJAGA GOL
EMILIANO Martinez membuat keputusan tepat berhijrah daripada Arsenal ke Aston Villa musim lalu apabila berjaya meraih mata tertinggi musim lalu. Dia dijangka mampu teruskan prestasi cemerlangnya musim ini terutama dalam aksi pertama.
PERTAHANAN
TRENT Alexander-Arnold adalah antara pemain Liverpool yang menyumbang banyak mata kepada pengurus FPL menerusi kebolehannya mengambil sepakan sudut dan sepakan percuma. Kecemerlangan Luke Shaw pada Euro 2020 dan Aaron Cresswell dengan 11 bantuan gol musim lalu juga harus diberi perhatian.
TENGAH
BRUNO Fernandes membuktikan setiap pasukan wajib mempunyai khidmatnya apabila meraih mata tertinggi musim lepas. Ketiadaan Kevin De Bruyne untuk aksi bertemu Manchester City bertemu Tottenham menjadikan Ilkay Gundogan sebagai pilihan kedua selain Stuart Dallas.
PENYERANG
PENJARING terbanyak Liga Kejuaraan England musim lepas, Ivan Toney dengan harga yang rendah sekali gus berbaloi untuk berada dalam pasukan FPL. Callum Wilson dan Neal Maupay juga diramal mampu membolosi gawang lawan masing-masing.
KAPTEN
TIDAK dapat disangkal lagi bahawa Mohamed Salah adalah pemain yang wajib ada bagi setiap pengurus FPL. Ini dapat dibuktikan melalui pungutan mata diperolehi pada musim-musim sebelumnya.