BERA – Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun ditemui lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama keluarganya di Sungai Triang dekat Kampung Bukit Keledang Mengkarak, di sini, semalam.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa, Abraham Baraq Mohd. Khairuddin bersama empat lagi ahli keluarganya singgah mandi di sungai berkenaan ketika dalam perjalanan pulang dari kebun mereka.
Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, ketika sedang mandi mangsa dikatakan terkapai-kapai akibat dihanyutkan arus deras sungai berkenaan.
“Kejadian itu disedari abang mangsa yang cuba menarik adiknya itu ke tepi namun gagal berikutan arus deras dan air yang dalam.
“Kejadian itu kemudian dilaporkan kepada pihak berkuasa. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan sehingga pukul 9.30 malam semalam sebelum disambung semula hari ini,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa ditemui penduduk kampung pukul 9.30 pagi ini tersangkut pada jaring, kira-kira 200 meter dari kawasan kejadian.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929