PUTRAJAYA – Pengurusan isu kesihatan mental di seluruh negara kini menjadi keutamaan cabaran besar kerajaan dalam usaha melandaikan keluk wabak Covid-19 pada ketika ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, permasalahan itu dianggap penting bukan sahaja dalam kalangan petugas barisan hadapan malahan rakyat negara ini keseluruhannya.
“Dalam kita gigih melawan wabak ini, satu bidang yang sama mustahak kepada kami ialah isu kesihatan mental kerana psikologi manusia juga ada kesan daripada pandemik itu,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pembukaan Persidangan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2021 yang berlangsung selama dua hari dan secara maya hari ini.
Acara yang bertemakan ‘Mempercepatkan Transformasi Sistem Kesihatan dalam Pandemik – Cabaran dan Peluang’ dengan 23 panel itu dianjurkan Institut Strategik Asia Pasifik Kingsley.
Mengulas lanjut, beliau menambah, strategi bersesuaian untuk mengurus masalah sakit jiwa adalah penting bagi memecahkan kitaran ganas wabak berbahaya sejagat itu tidak berleluasa.
“Kita perlulah guna pendekatan kognitif tingkah laku, kesedaran dan kerohanian untuk tingkat rasa penerimaan, keyakinan dan komitmen bagi bersedia menempuh hidup normal,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929