KUALA NERUS – Sebahagian besar pengusaha resort di pulau-pulau peranginan di Terengganu yang kian terhimpit ekoran penutupan sektor pelancongan terdesak untuk membuka kembali operasi biarpun pada masa musim tengkujuh.
Setiausaha Persatuan Pengusaha Resort Pulau Redang, Lim You Jing berkata, beliau dan 10 pengusaha resort lain di Pulau Redang nekad untuk beroperasi sebaik dibenarkan kerajaan biar pun pada musim tengkujuh.
Beliau yang juga pengusaha Redang Bay Resort berkata, waktu paling ideal dan selamat untuk kembali beroperasi ialah mereka selesai menerima dos kedua vaksin Covid-19 sekali gus mencapai imuniti kelompok pada hujung bulan ini.
“Walaupun sektor pelancongan domestik sudah boleh dibuka berikutan kebenaran rentas negeri kepada individu lengkap vaksinasi bermula 10 Ogos lalu, lebih selamat membuka operasi selepas kesemua penduduk pulau-pulau peranginan di negeri ini mencapai imuniti kelompok.
“Begitupun, dua bulan tidak memadai dan kita cadang terus operasi walaupun musim tengkujuh. Kita akan sediakan pakej menarik dan berpatutan dengan memberi tumpuan tarikan di kawasan daratan pulau yang selama ini kurang didedahkan,” katanya kepada Kosmo! di Pulau Redang di sini baru-baru ini.
Terengganu mempunyai lima pulau peranginan komersial iaitu Pulau Redang di sini; Pulau Perhentian, Besut; Pulang Lang Tengah, Setiu; Pulau Kapas, Marang dan Pulau Tenggol, Dungun yang memiliki kira-kira 5,000 penggiat pelancongan.
You Jing, 37, berkata, akses ke rangkaian pulau peranginan di Terengganu tersebut pada musim tengkujuh bukan mustahil kerana bukannya setiap hari cuaca akan hujan dan laut bergelora sepanjang tempoh tersebut.
Beliau memberi jaminan pengusaha resort terlibat akan memberi bantuan dan nasihat sewajarnya kepada pelancong yang berkunjung ke Pulau Redang sepanjang tempoh itu.