GERIK – Seekor gajah jantan seberat 1.5 tan dari kumpulan gajah Papulut. berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak di Kampung Air Jada di sini Selasa lalu.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, gajah berusia antara 20 hingga 21 tahun yang dinamakan Yob Hijrah itu ditangkap pada pukul 10 pagi selepas dijejaki selama dua jam.
“Tangkapan itu dijalankan selepas menerima aduan penduduk mengenai haiwan tersebut yang dikatakan merosakkan tanaman termasuk pokok buah-buahan.
“Kumpulan ini ada empat ke lima ekor gajah namun hanya Yob Hijrah yang bergerak keluar daripada kumpulannya memasuki kawasan kampung,” katanya di sini hari ini.
Operasi pemindahan gajah tersebut akan dilakukan esok pada pukul 9 pagi dengan menggunakan gajah denak iaitu Alam dan Abot bertujuan memujuk Yob Hijrah untuk dihantar ke Hutan Simpan Royal Belum. – K! ONLINE