BELFAST – Jurulatih Villarreal, Unai Emery enggan menyalahkan barisan pemainnya apabila gagal membawa pulang trofi Piala Super Eropah selepas tewas kepada Chelsea awal pagi semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Windsor Park itu, Villarreal bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Gerard Moreno selepas Chelsea mendahului 1-0 hasil jaringan Hakim Ziyech.
Bagaimanapun, mereka dikecewakan oleh kecekapan penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga yang menyelamatkan dua sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 pada masa tambahan.
Biarpun tewas, namun bekas pengendali Arsenal itu tetap memuji barisan pemainnya yang menampilkan aksi yang cukup baik.
“Satu kebanggaan buat setiap pemain untuk mewakili Villarreal dan beraksi pada perlawanan seperti ini. Semua pemain sudah memberikan segala-galanya tetapi nasib tidak tidak memihak kami,” kata Emery.
Sementara itu, Moreno mengakui dia tidak terlalu kecewa dengan kekalahan tersebut kerana menganggap mereka tewas kepada pasukan yang lebih baik biarpun sudah memberikan segala-galanya. – AGENSI