fbpx

BNM unjur pertumbuhan ekonomi 3-4%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA –  Bank Negara Malaysia (BNM) menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara tahun ini kepada tiga hingga empat peratus, berbanding anggaran awal antara enam hingga 7.5 peratus.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, semakan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan ekonomi global terkini, selain pelaksanaan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta andaian mengenai peralihan berperingkat ke fasa seterusnya berdasarkan kadar vaksinasi dan kapasiti sistem penjagaan kesihatan.

“Unjuran baharu ini lebih rendah berbanding sebelum ini, sebahagian besarnya disebabkan oleh pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan jangkitan di seluruh negara.

“Walau bagaimanapun, jangkaan pembukaan semula ekonomi akan membantu menyokong pemulihan secara beransur-ansur dan pada suku keempat tahun ini, ekonomi negara dijangka akan kembali kepada paras sebelum pandemik.

“Dalam senario lebih baik, pertumbuhan ekonomi negara akan melebihi paras empat peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan secara maya sebentar tadi berhubung prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara bagi suku kedua 2021, yang menunjukkan pertumbuhan sebanyak 16.1 peratus, berbanding kemerosotan 0.5 peratus pada suku pertama.

Prestasi tersebut disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang terus mantap, selain mencerminkan asas yang rendah berikutan kemerosotan aktiviti ketara pada suku kedua tahun 2020.

Sementara itu, Nor Shamsiah berkata, secara umumnya, pemulihan pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka bermula semula pada penghujung separuh kedua tahun 2021 dan bertambah baik pada tahun 2022.

Jelasnya, kemajuan dan keberkesanan program pemberian vaksin akan menjadi pemangkin utama kepada pembukaan semula ekonomi, seterusnya mendorong sentimen positif.

“Hal ini akan mengurangkan tekanan ke atas kapasiti sistem penjagaan kesihatan dan membolehkan langkah pembendungan dilonggarkan.

“Selain itu, pertumbuhan akan terus disokong oleh peningkatan pengeluaran komoditi, kewujudan permintaan terpendam dan pelaburan yang berterusan dalam projek infrastruktur berskala besar berikutan penamatan sekatan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI