IPOH – Sebuah ambulans yang dalam perjalanan mengambil pesakit Covid-19 hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang di Jalan Tambun berhampiran Taman Tambun di sini malam ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata, ambulans yang dipandu lelaki berusia 55 tahun itu dalam perjalanan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini ke Kampung Melayu Batu 8, Hulu Kinta.
“Pihak kami mendapat maklumat kejadian pada pukul 8 malam. Dalam hal ini ambulans yang dinaiki dua kakitangan Klinik Tanjung Rambutan itu dalam perjalanan mengambil pesakit Covid-19 untuk dihantar ke Hospital Sungai Siput.
“Kenderaan itu bagaimanapun hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelah kanan sebelum terbabas ke laluan bertentangan sejauh 60 meter,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kemalangan itu berlaku ketika hujan dan jalan basah namun tidak melibatkan kenderaan lain mahupun kerosakan harta awam di tepi jalan.
Katanya, pemandu ambulans tidak mengalami kecederaan manakala pembantu perubatan berusia 40 tahun sakit pada bahagian pinggang dan kenderaan tersebut telah disanitasi dan ditunda ke Klinik Tanjung Rambutan. – K! ONLINE