fbpx

Adab itu cermin diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
NOR ERYANI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

MEDIA sosial, satu medium yang menyertai senarai rutin harian manusia setiap hari. Celik mata dari tidur, telefon adalah benda pertama yang dicapai. Begitu juga ketika sebelum tidur setiap malam.

Maka tidak hairan, medium yang dianggap sangat penting bagi kebanyakan manusia demi mengisi kelangsungan hidup mereka.

Paling sukar dibendung adalah perkongsian yang mengundang kritikan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, kandungan ‘bodoh’ menjadi perkara biasa bagi pentaksub media sosial yang berpaksikan kepada jumlah tontonan untuk meraih ‘populariti pantas’.

Tidak perlu menyelak cerita-cerita lama kerana dalam masa beberapa hari ini, ada bermacam kisah panas yang berlaku di sekeliling kita.

Paling terkini adalah ber­ke­naan kisah kematian penyanyi Siti Sarah Raissuddin yang me­ninggal dunia selepas tiga hari bertarung nyawa melawan Co­vid-19 sehingga mengundang hiba seluruh negara.

Di sebalik kesedihan orang ramai, terselit satu kejadian tidak enak apabila muncul seorang YouTuber yang juga pelakon menjadikan pemergian penyanyi itu sebagai kandungan dalam saluran YouTubenya.

Jangan dibuat main dengan isu mati kerana tindakan lelaki berusia 22 tahun itu pantas mendapat kecaman bertubi-tubi da­ripada netizen yang menyelar perbuatannya sebagai tidak menjaga sensitiviti keluarga si mati apatah lagi ketika kuburnya masih lagi ‘merah’.

Bercakap tentang perilaku tersebut, satu pertanyaan yang timbul adalah di mana letaknya adab si pelaku. Adab, satu perkataan yang mudah dan ringkas tetapi cukup mahal bagi sesete­ngah manusia.

Memetik perkongsian daripada penceramah terkenal Indonesia, Ustazah Halimah Alaydrus, media sosial jika dibicarakan dari sudut Islam diibaratkan seperti sebiji gelas. Jika ‘gelas’ tersebut dituangkan dengan perkara baik, maka baiklah jadinya, begitu juga sebaliknya.

Media sosial itu tergantung kepada kita untuk menggunakannya sama ada menjadi medium kebaikan atau pencetus keburukan buat diri sendiri.

“Menjadi masalah pada zaman sekarang ialah manusia gemar meletakkan hal-hal yang buruk di dalamnya sehingga terjadi keburukan. Sekali gus terlupa bahawa medium berkenaan menjadi sebahagian daripada hidup kita.

“Apa yang ditulis, nanti akan ditanya di hadapan Allah. Jadi sebab itu kita perlu ada adab ketika bermain sosial. Pastikan apa yang kita buat ada beri manfaat buat diri sendiri,” katanya.

Adab menjadi satu perkara yang semakin hilang, jatuh dan tiada nilai lebih-lebih lagi ketika dunia semakin mendepani kemajuan dengan pelbagai kemudahan teknologi.

Halimah turut menyatakan bahawa adab menggunakan media sosial adalah perlu untuk memastikan tiada sesiapa yang tersakiti dengan perkongsian kita.

“Pastikan kata-kata dan perbuatan kita adalah yang baik-baik tanpa menzalimi orang lain. Jika tidak mahu orang lakukan sesuatu yang buruk kepada kita, begitu jugalah yang dirasakan mereka.

Jadi pandai-pandailah mengisi kebaikan dalam ‘gelas’ media sosial kita,” ujarnya.

Kontroversi yang muncul beberapa hari lalu turut menjentik hati pengacara dan penulis lirik Ahmad Fedtri Yahya untuk berkongsi tentang satu perihal adab ketika menziarahi kubur.

Barangkali ada yang ‘terlupa’, Fedtri tampil memuat naik perkongsian dan peringatan yang cukup bermakna dengan menyenaraikan enam adab ketika menziarahi kubur.

“Hormatilah tanah perku­buran. Kubur bukan tempat men­cipta sensasi dan populariti,” tulisnya ringkas, namun cukup mendalam untuk kita semua mengertikan.
Tekankanlah adab sebagai sikap dan sifat paling tinggi dalam diri kerana sesungguhnya, adab seseorang itu jauh lebih berharga daripada emas yang dimilikinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI