fbpx

Pesakit kategori 3,4 dijangka turun di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin.

SHAH ALAM – Pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat dijangka menurun selaras dengan peningkatan penerimaan vaksin di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, berdasarkan data sebanyak 5,761,304 dos vaksin telah diagihkan kepada rakyat Selangor melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini menerusi Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) negeri Selangor dan program Selangor Vaksin (SelVAX).

Katanya, daripada jumlah berkenaan seramai 3,665,093 orang telah menerima dos vaksin pertama iaitu 77.17 peratus daripada sasaran awal, manakala 2,096,211 telah lengkap menerima dua dos vaksin bersamaan dengan 44.14 peratus daripada sasaran yang sama.

Bagi usaha vaksin negeri melalui SelVAX pula sebanyak 270,696 dos vaksin telah disuntik dengan 70,138 telah lengkap menerima dua dos.

“Justeru, pada apa yang telah direncana dan graf rekod yang dibuat di seperti Sarawak dan Labuan, kita menjangkakan menjelang akhir Ogos dan September ini kita akan mendapat hasilnya iaitu penurunan kes bagi kategori tiga dan empat.

“Ini sekaligus mengurangkan tekanan kepada hospital disamping menuju ke arah imuniti berkelompok atau fasa peralihan seterusnya,” katanya pada sidang akhbar secara maya berkenaan status terkini dan usaha vaksinasi di Selangor, hari ini.

Justeru, Amirudin memberitahu, sebagai langkah pengawalan penularan kerajaan negeri akan mengagihkan sebanyak 60,000 kit percuma saringan kendiri khususnya kepada keluarga mangsa yang disahkan positif Covid-19, September ini.

“Kita berharap mereka akan melakukan kekerapan ujian dalam mengetahui status kesihatan dan mengambil langkah kuarantin di rumah contohnya apabila dijangkiti Covid-19,” ujarnya.

Dalam perkembangan berlainan, beliau menjelaskan ujian saringan kesihatan awam yang dijalankan kerajaan negeri ketika ini adalah bagi menambah nilai terhadap strategi menyeluruh yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan.

“Kalau mereka tidak mampu melaksanakan ujian itu, kerajaan negeri akan laksanakan namun kumpulan sasaran sahaja iaitu yang mempunyai kes tertentu di sesuatu lokaliti sahaja.

“Contohnya ada permohonan daripada wakil rakyat di Subang Jaya selain di Kota Anggerik yang mempunyai 17 kematian dan melakukan ujian saringan di kawasan perumahan yang ada. Kita menyasarkan 100,000 ujian telah dibuat dan hanya tinggal 16,000 kit ujian dalam simpanan kita,” jelasnya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI