PETALING JAYA – Prestasi perdagangan borong dan runcit negara terus mencatatkan kemerosotan pada Jun 2021 dengan kejatuhan 10.3 peratus tahun ke tahun kepada RM92.2 bilion, menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, ia merupakan pertumbuhan terendah yang dicatatkan tahun ini berikutan pelaksanaan total lockdown setelah kes Covid-19 semakin teruk.
“Subsektor kenderaan bermotor paling terkesan, merudum 92.4 peratus atau RM11.2 bilion untuk mencatatkan nilai jualan hanya RM0.9 bilion.
“Perdagangan runcit jatuh 2.9 peratus atau RM1.2 bilion kepada RM40.6 bilion, namun perdagangan borong meningkat 3.6 peratus atau RM1.8 bilion untuk mencapai RM50.7 bilion.
“Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan menurun sebanyak 14.8 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd. Uzir seterusnya memaklumkan, indeks jualan runcit sebarang jenis produk melalui internet, yang menggambarkan aktiviti e-dagang merekodkan pertumbuhan 8.7 peratus tahun ke tahun pada Jun lalu (15.8 peratus pada Mei lalu).
Pendapatan e-dagang Malaysia pada suku tahun kedua 2021 merekodkan RM267.6 bilion dengan peningkatan 23.3 peratus berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya, didorong terutamanya oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan.