fbpx

PAUiTM harap kemelut pelantikan NC berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) berharap kemelut pelantikan Naib Canselor (NC) Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang baharu dapat diselesaikan dengan segera dengan mengambil kira kepentingan dan peranan UiTM secara keseluruhannya.

Setiausaha PAUiTM Malaysia, Shukri Ishak berkata, pihaknya mengikuti perkembangan pelantikan Naib Canselor UiTM yang telah kosong sejak Februari lalu.

“Kita difahamkan bahawa pelantikan Naib Canselor UiTM telah pun melalui satu proses pemilihan yang cukup ketat oleh Jawatankuasa Khas Temuduga Kenaikan Pangkat Naib Canselor UiTM (Jawatankuasa) yang dipengerusikan oleh Pro Canselor UiTM, Tan Sri Zarinah Sameehah Anwar.

“Kita yakin jawatankuasa tersebut telah membuat penilaian terbaik berdasarkan merit dan kelayakan serta mengangkat syor calon-calon selayaknya untuk pertimbangan mantan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang seterusnya telah melantik Prof Dr Roziah Janor melalui surat bertarikh 2 Ogos lalu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, pelantikan Roziah yang ketika ini merupakan Timbalan Naib Canselor (TNC) yang menjalankan fungsi Naib Canselor telah menjadikan beliau sebagai Naib Canselor wanita pertama UiTM, sebuah institusi Bumiputera terunggul sekaligus mendokong aspirasi kerajaan untuk meningkatkan penyertaan wanita di dalam pembuatan keputusan.

“PAUiTM juga berkeyakinan tinggi bahawa jawatankuasa dan Menteri Pengajian Tinggi telah melihat kriteria kelangsungan kepimpinan dan kecemerlangan UiTM kerana Roziah masih berkhidmat di dalam sistem UiTM.

“Ini juga membolehkan UiTM merancang dan melaksana (plan and execute) strategi yang lebih berkesan seperti mana Tan Sri Ibrahim Shah Abu Shah yang dilantik sebagai Naib Canselor pada tahun 2001,” ujarnya.

Menurutnya, PAUiTM juga percaya gandingan Roziah dan Ibrahim Shah sebagai Pengerusi UiTM pada ketika ini akan membawa UiTM ke tahap yang lebih tinggi. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI