KUANTAN – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka menerima dua lagi kapal misi pesisir (LMS) menjelang penghujung tahun ini yang akan memantapkan lagi armada TLDM.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, proses perolehan aset terbaharu TLDM itu juga dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan angkatan tentera menjaga kedaulatan perairan negara.
“Kita sudah terima dua LMS dari China sebelum ini dan dijangka menjelang hujung tahun ini pula, kita akan menerima dua lagi LMS.
“Sepatutnya banyak lagi aset yang kita tempah sebelum ini dapat diterima, termasuklah helikopter dari Amerika Syarikat, tetapi disebabkan berlakunya pandemik Covid-19 jadi ada antara (tempahan) lambat kita terima,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Eksesais Taming Sari Siri 20/21 yang diadakan kira-kira 180 kilometer dari Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, di sini, hari ini.
Sebanyak 17 aset TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terlibat dalam eksesais itu yang turut disertai kapal selam KD Tun Razak yang melakukan penembakan peluru berpandu secara taktikal jenis EXOCET MM40.
Dalam pada itu, mengulas mengenai eksesais berkenaan, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, ia adalah bagi menguji tahap kesiapsiagaan pegawai dan anggota tentera Malaysia serta kemampuan aset dimiliki.
“Melalui eksesais kali ini, kita dapat melihat sendiri tahap disiplin ditunjukkan pegawai dan anggota tentera kita sentiasa berada di tahap tertinggi serta sangat profesional,”katanya.
Sementara itu ketika ditanya mengenai kadar vaksinasi dalam kalangan pegawai dan anggota tentera setakat ini, beliau memaklumkan 95 peratus daripada mereka sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.
“Proses vaksinasi untuk pegawai dan anggota tentera sudah boleh dikira selesai, sekarang kita tumpukan pemberian vaksin kepada pasangan mereka.
“Kita utamakan mereka (pegawai dan anggota) kerana mereka bertanggungjawab menjaga sempadan (kedaulatan) negara, jadi kalau tidak diberikan vaksin dan ada pula yang dijangkiti Covid-19, susahlah kita hendak atur gerak mereka ini,”ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929