fbpx

‘Kurung’ semula pengembara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

ISNIN lalu, rakyat di seluruh negara diselubungi duka atas kematian Siti Sarah Raissuddin selepas 65 jam bertarung nyawa melawan jangkitan Covid-19.

Pemergian Siti Sarah, 36, amat menyentuh hati seluruh lapisan masyarakat apabila penyanyi itu meninggal dunia selepas beberapa hari melahirkan seorang anak secara pembedahan ketika Allahyarham sedang koma pada Jumaat lalu.

Allahyarham Siti Sarah antara lebih 11,000 insan di negara ini yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Banyak lagi kisah sedih yang meruntun jiwa. Anak-anak menjadi yatim piatu selepas Covid-19 meragut nyawa ibu bapa mereka. Suami hilang isteri tercinta dan isteri pula hilang suami angkara virus durjana.

Sekarang bukan masa untuk kita berseronok terutama dengan kelonggaran yang kerajaan berikan kepada penerima lengkap vaksinasi ketika jangkitan masih melebihi 20,000 kes sehari. Kadar vaksinasi pula belum mencapai imuniti kelompok 80 peratus penduduk.

Jangan terlalu leka khususnya penduduk di negeri-negeri Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan fasa seterusnya yang dibenarkan dine-in di restoran dan merentas daerah.

Kita tidak tahu varian apakah yang akan muncul lagi selepas ini. Varian Delta Plus dan Lambda antara paling ditakuti jika berada di Malaysia kerana ia lebih ganas serta berbahaya berbanding varian sedia ada.

Cukuplah varian Delta yang telah mencengkam negara ini sehingga kes meningkat secara mendadak, usah ditambah lagi kemunculan varian baharu yang akhirnya menyebabkan suntikan vaksin tidak akan berkesan lagi untuk melawan Covid-19.

Keputusan kerajaan membenarkan pengembara yang lengkap vaksinasi untuk menjalani kuarantin wajib di rumah sahaja selepas pulang ke tanah air dibimbangi akan mengundang bencana kepada negara.

Ramai pakar kesihatan membantah kelonggaran itu. Kebimbangan mereka berasas apabila beberapa negara di seluruh dunia kini mula melaporkan kes positif Covid-19 dengan varian-varian baharu yang lebih berbahaya serta mudah merebak.

Jadikan Kluster Sivagangga di Napoh, Kubang Pasu sebagai pengajaran bagaimana seorang lelaki berstatus penduduk tetap telah melanggar perintah kuarantin di rumah selepas pulang dari India. Akibatnya, ramai penduduk dijangkiti Covid-19.

Tindakan pengembara di kuarantin di rumah memang tidak sesuai kerana tiada pengawasan 24 jam pihak berkuasa. Mereka yang tidak jujur masih boleh keluar berjumpa kawan dan membeli barangan. Maka, risiko bagi penularan masuk varian Delta Plus dan Lambda akan meningkat.

Vaksin bukan menjadikan manusia kebal dan tidak akan menyebarkan Covid-19 sekiranya dijangkiti. Kita masih boleh dijangkiti dan menjangkiti orang lain.

Jangan ulangi kesilapan kerana kita bukan sedang melakar sebuah potret yang boleh dipadam-padam jika tersalah lukis, sebaliknya kita sedang berusaha menyelamatkan lebih 32 juta rakyat Malaysia daripada menjadi mangsa kekejaman Covid-19. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI