fbpx

‘Kita nak tolong nyawa orang, jangan peralat nyawa orang’ – Naim Daniel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAFEEZ (kanan) sangat menghormati Naim namun tidak bersetuju dengan frasa 'pukul rata' yang digunakan penyanyi itu apabila menuduh ada dalam kalangan penjual insurans sebagai hilang perikemanusiaan dan tidak sensitif.

PETALING JAYA – Penyanyi dan komposer, Naim Daniel menegaskan coretan yang dimuat naik dalam Twitter berhubung peringatan kepada mana-mana ejen insurans agar tidak menggunakan sentimen kematian seseorang untuk melariskan perniagaan atau produk mereka bukanlah bersifat ‘pukul rata’.

Getus Naim atau nama sebenarnya, Muhammad Naim Daniel Baharin, 24, berkali-kali dia memberikan penekanan tentang frasa ‘kalau ada’ dalam ciapan yang dimuat naik.

“Rasanya kalau mata awak baca tweet (ciapan) saya dengan tenang dan tak menggelupur, mesti boleh nampak dengan jelas dan terang saya mulakan dengan perkataan ‘kalau ada’.

“Tidak mengapa, awak bukan ejen (insurans) pertama yang ‘triggered’ sedangkan terang-terangan saya letak ‘disclaimer’ (terma penafian),” ciap pelantun lagu Sumpah itu menjawab ciapan seorang netizen.

Pemenang Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) itu sebelum ini memercik sedikit kontroversi apabila memuat naik ciapan berbaur peringatan ‘keras’ kepada mana-mana ejen insurans yang menjadikan kematian rakan artis, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin sebagai modal menjual produk insurans mereka.

“Kalau ada mana-mana ejen insurans yang guna modal kematian Allahyarham Siti Sarah nak cerita pasal hibah dan sebagainya, kalian memang hilang manusia dalam diri,” ciapnya dua hari lalu.

Ciapan yang dikongsikan Naim turut menarik perhatian pelakon, Hafeez Mikail yang kurang bersetuju dengan pendapat peribadi dilontarkan penyanyi berbakat besar itu.

Hafeez memaklumkan, dia sangat menghormati Naim namun tidak bersetuju dengan frasa ‘pukul rata’ yang digunakan penyanyi itu apabila menuduh ada dalam kalangan penjual insurans sebagai hilang perikemanusiaan dan tidak sensitif.

“Macam anda kata, ‘kalau ada’ tapi masih belum ada. Alhamdulillah, setakat ini, tiada lagi rasanya ejen takaful guna kesempitan orang dalam mengejar KPI (Petunjuk Prestasi Utama).

“Bukan nak ajak bergaduh tapi hanya nak beritahu anda, ejen insurans juga manusia,” kata Hafeez.

Hafeez bagaimanapun berkata, kalau terdapat mana-mana ejen insurans yang melanggar etika kerjaya dengan menjadikan kematian seseorang sebagai kandungan, mereka layak ditegur.

“Setuju, saya faham isu sensitif mengenai kematian Allahyarham. Tetapi, kalau ejen tersebut salah kandungan, ya layak ditegur. Tapi ciapan tersebut, dia (Naim) cakap ejen insurans, jadi saya pun layak memberi komen.

“Tak salah wujudkan kesedaran tapi dengan cara yang betullah. Setahu saya, tiada pun lagi ejen yang saya kenal menggunakan insiden yang saya sendiri rasa sedih. Tapi ciapan dia seolah-olah berdosa dan jahat betul ejen insurans ini,” luah Hafeez yang turut membina kerjaya sebagai ejen insurans.

Dalam pada itu, mengakui dirinya juga merupakan seorang pelanggan setia takaful, Naim menjelaskan, orang tuanya juga pernah membina kerjaya dalam bidang insurans hampir 20 tahun dan apa yang dikongsikan dalam Twitter bukan ditujukan kepada yang menjalankan tugas dengan telus.

“Orang tua saya pun dalam bidang insurans hampir 20 tahun. Fakta menarik, saya juga seorang pelanggan takaful. Moto yang digunakan ibu bapa saya dalam modus operandi mereka adalah, kita nak tolong nyawa orang, jangan peralat nyawa orang.

“Kita nak bantu manusia, jangan sampai hilang manusia. Dan ketahuilah, ciapan saya itu, sejujurnya buat mereka mereka yang semberono dalam menjalankan tanggungjawab demi hanya mengejar KPI, saya ulang, ‘kalau ada’,” tegas Naim. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI