PUTRAJAYA – Kerajaan melancarkan Inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (Perkukuh) sebagai memulakan perjalanan untuk enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) melaksanakan mandat yang diperbaharui.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, konsep Perkukuh dizahirkan untuk mencapai lima hasil utama antaranya memperjelas mandat setiap GLIC, peningkatan fokus kepada pelaburan pembangunan untuk memacu pertumbuhan baharu dan menyemarakkan sektor swasta.
Beliau berkata, selain itu, Perkukuh juga dizahirkan bagi menyiapkan GLIC untuk masa hadapan melalui peningkatan tadbir urus dan keupayaan serta mengukuhkan perlindungan sosial dan ketahanan fiskal GLIC.
“Ini diperlukan bukan hanya untuk bersaing dengan landskap pelaburan yang terus berubah tetapi juga untuk memastikan supaya kita mendokong konsep Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam keputusan pelaburan aset negara.
“Jika kita tidak mengikuti perkembangan sebegini, ia akan menimbulkan risiko kepada kemampuan Malaysia di masa hadapan, misalnya di dalam memanfaatkan teknologi baharu atau meningkatkan teknologi yang ada untuk mencapai sasaran manfaat sosio-ekonomi selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.
Majlis pelancaran PERKUKUH secara maya oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dihadiri oleh barisan pengerusi, ahli-ahli lembaga pengarah dan pihak pengurusan kanan Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Berhad, Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.
Turut hadir ialah wakil-wakil pengurusan kanan Kementerian Kewangan, Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata pelaksanaan Perkukuh memberi pelbagai kelebihan iaitu bagi GLIC, pembinaan portfolio pelaburan (strategik dan komersial) dengan pulangan lebih tinggi yang mengambil kira faktor risiko dan tadbir urus lebih rapi akan menjamin ketahanan dan prospek pertumbuhan lebih baik, malah pendekatan ini secara beransur-ansur meraih pulangan pelaburan lebih baik bagi pendeposit, pemegang saham dan para pesara.
Katanya, komuniti pelabur pula akan mendapat manfaat dari pembangunan bidang-bidang pertumbuhan baharu, di mana lebih banyak peluang mereka terlibat secara langsung melalui penyemarakkan pelaburan swasta, lebih-lebih lagi di dalam sektor-sektor baharu dan yang telah dibangunkan.
“Manfaat kepada ekonomi adalah melalui pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan dan tambah nilai yang tinggi, justeru memperkukuhkan prospek pertumbuhan dan ketahanan fiskal negara bagi jangka masa panjang.
“Paling penting, rakyat akan mendapat manfaat daripada prospek peningkatan pendapatan, pulangan yang stabil bagi simpanan, deposit, pencen, serta program perlindungan sosial yang lebih berkesan dan holistik,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929