fbpx

Gadai nyawa bawa pesakit Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

BENTONG – Pemandu di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di sini, terpaksa menanggung risiko sehingga boleh menggadai nyawa sendiri dan keluarga apabila perlu membawa pesakit positif Covid-19 tanpa alat perlindungan diri (PPE) yang lengkap.

Itulah situasi yang terpaksa dihadapi sebahagian daripada pemandu yang mengambil dan menghantar pesakit Covid-19 ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di daerah ini selepas mereka kehabisan barangan keperluan tersebut.

Menurut sumber, akibat kehabisan PPE lengkap, para pemandu terbabit hanya memakai pelitup dan pelindung muka selain PPE yang tidak menutup bahagian belakang badan.

Katanya, keadaan itu juga menyebabkan pemandu di PKOB itu tidak pulang ke rumah dan tidur di bilik di pusat tersebut selepas menghantar atau mengambil pesakit.

“Mereka tiada pilihan lain dan terpaksa berkorban kerana PPE lengkap telah habis untuk mereka gunakan.

“Jadi mereka sebenarnya amat bimbangkan keselamatan mereka yang terdedah dengan pesakit Covid-19,” katanya di sini semalam.

Tambahnya, difahamkan pejabat daerah dan tanah tidak dapat membeli PPE memandang­kan peruntukan mereka ada tidak dibenarkan membeli barangan kesihatan menyebabkan mereka hanya menunggu bekalan daripada Jabatan Kesihatan.

Dalam pada itu, katanya, pihak yang menguruskan jena­zah Covid-19 pada masa ini juga berasa bimbang apabila bekalan PPE lengkap semakin berkura­ngan dan tiada stok baharu yang sampai dalam keadaan kes kematian semakin meningkat.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan pada masa ini antaranya memohon bantuan daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan bagi membekalkan PPE berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Dae­rah Bentong, Datuk Mohd. Zul­kifli Hashim berkata, pihak Jabatan Kesihatan sedang berusaha bagi mendapatkan PPE lengkap de­ngan kadar segera pada masa ini. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI