JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya mematahkan dua sindiket pengedaran dadah masing-masing dalam operasi berasingan yang dijalankan di Batu Pahat dan Seri Alam, di sini awal bulan ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kes pertama melibatkan tiga serbuan berasingan di Batu Pahat dengan rampasan dadah sebanyak 29.48 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM1.6 juta.
Menurut beliau, dalam operasi berkenaan pihaknya menahan empat suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita termasuk sepasang suami isteri yang berusia antara 30 hingga 43 tahun.
“Dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki dan merampas sejumlah dadah jenis syabu.
“Susulan daripada serbuan itu, polis telah melakukan serbuan berasingan dan berjaya menahan tiga lagi suspek, termasuk sepasang suami isteri,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah Ayob Khan, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan turut mendapati kesemua suspek positif dadah.
“Dalam serbuan ini, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM30,210,” ujarnya yang turut memberitahu modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan mengambil bekalan dadah dari Pendang, Kedah untuk pasaran negara jiran.
Sementara itu, Ayob Khan turut memberitahu serbuan berasingan yang dijalankan di Seri Alam pada 3 Ogos lalu turut menyaksikan polis merampas 5.21 kg syabu bernilai RM187,848. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929