PETALING JAYA – Video masakan yang pernah dimuat naik Siti Sarah di laman media sosial sebelum penyanyi itu menghembuskan nafas terakhirnya Isnin lalu mendapat pujian ramai khususnya dalam kalangan rakyat Terengganu.
Rata-rata orang Terengganu dilihat memuji kebolehan arwah bercakap menggunakan loghat negeri itu terutamanya ketika memuat naik video-video masakan di laman media sosial miliknya.
Antara video masakan milik Allahyarham yang berjaya mencuri tumpuan ramai ialah ketika pelantun lagu Kesetiaan itu memasak menu singgang ikan tongkol atau dipanggil ‘singge ike ayo’ oleh masyarakat Terengganu.
“Rindu dengan video-video dia (arwah) lepas ini, semoga arwah tenang di sana,” kata Huda Ilyani.
“Dia masak sambil berdoa, Masya-Allah, hebat wahai ketua bidadari Shuib,” kongsi Zuraida Damis.
“Bagus arwah, walaupun dia dilahirkan di bandar besar tetapi tidak lupa loghat Terengganu, sesetengah orang kita baru duduk Kuala Lumpur, dua bulan balik kampung sudah cakap KL,” seloroh Effa Rudieyana.
“Comelnya, arwah cakap Terengganu, moga ditempatkan dalam kalangan kekasih-Nya,” kata Rezza Amin.
Siti Sarah Raissuddin yang juga isteri kepada pelawak dan usahawan, Shuib meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pada Isnin lalu.
Siti Sarah, 36, yang dimasukkan ke hospital berkenaan sejak Rabu lalu akibat Covid-19 menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.13 pagi.
Perkara tersebut disahkan sendiri Shuib menerusi satu muat naik di laman Instagramnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929