GEORGE TOWN – Sebuah video memaparkan seekor buaya menggigit mayat seorang wanita seperti yang tular di media sosial tidak berlaku di negeri ini seperti didakwa.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya tidak menerima laporan berhubung kes itu setakat ini.
Menurut dakwaan pengguna media sosial, kejadian itu dikatakan berlaku di perairan negeri ini berdekatan Jambatan Pulau Pinang membabitkan mangsa wanita yang membunuh diri.
Video berdurasi 28 saat itu memaparkan seekor buaya timbul di permukaan air sambil menggigit mayat mangsa.
Sementara itu, pencarian di internet mendapati kejadian itu dilaporkan berlaku di sebatang sungai di Tampico, Mexico pada 21 Jun lalu.
Kejadian turut dilaporkan portal Mexico Daily Post berserta video serta usaha menyelamat oleh pihak berkuasa negara berkenaan yang mengambil masa 40 minit.
Berdasarkan laporan itu, kejadian dikatakan berlaku ketika wanita yang didakwa gelandangan sedang mencuci pakaian pukul 7 malam sebelum disambar reptilia tersebut. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929