PETALING JAYA – Pelakon Betty Rahmad berkongsi kisah penghijrahannya yang kini tampil dengan imej bertudung sempena mengambil keberkatan kedatangan Awal Muharam baru-baru ini.
Kongsi Betty, 40, hatinya mula terdetik untuk melakukan perubahan setelah melihat anaknya, Ardy Wira yang kini berusia lebih dua tahun sudah lancar mengaji Iqra, sedangkan dirinya yang sudah berusia masih merangkak-rangkak membaca al-Quran.
Dia juga mengakui sudah lama tidak membaca kitab suci berkenaan.
“Sebenarnya ini semua saya untuk diri sendiri. Setiap kali solat, saya berdoa kepada Allah supaya jadikan diri saya seorang yang lebih baik, beriman dan diberikan hidayah.
“Semuanya terdetik ketika tengok anak pandai mengaji, manakala diri sendiri masih tidak berapa lancar. Sehinggalah saya mula menyertai kelas mengaji dalam talian bersama rakan pelakon, Nabila Huda,” kongsinya dalam sesi siaran langsung dalam Instagramnya beberapa jam lalu.
Tambah pemilik nama sebenar Norsha Rahmad itu, dia mula melatih diri dengan bangun tidur seawal pukul 4.30 pagi untuk mendirikan solat sunat tahajud, solat sunat taubat, berdoa dan mengaji di balkoni rumahnya.
Setiap pagi, Betty membaca surah Ar-Rahman dan Al-Waqiah, namun terdapat satu ayat dalam kandungan surah Ar-Rahman yang benar-benar menjentik hatinya melakukan perubahan.
“Hati saya tersentak setiap kali membaca ayat ‘nikmat Tuhan mana yang engkau dustakan?’. Setiap pagi saya ulang membaca surah yang sama.
“Setiap hari saya terfikir, alhamdulillah syukur apa yang saya nak, semua Allah bagi. Suami baik dan penyayang, anak bijak dan bisnes yang masih berjalan pada waktu sukar begini sedangkan orang lain bergelut.
“Saya teringat kata seorang ustazah, perempuan senang nak masuk syurga. Syaratnya, jaga suami dan anak, jadi ibu yang baik. Saya pun dah jalankan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri dengan baik tapi ada yang tak cukup iaitu aurat,” katanya sambil sesekali mengelap air matanya.
Pemergian rakan artis Siti Sarah Raissuddin turut menjadi asbab buat pelakon itu melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.
“Masa arwah masih ada, saya ada pesan tudung jualannya. Waktu itu saya macam ada niat untuk bertudung tapi tak pakai lagi. Saya tunjuk kepada suami dan dia tanya dah nak bertudung ke tapi saya jawab belum lagi.
“Selepas arwah meninggal dunia, masa itu barulah saya putuskan untuk pakai tudung. Ketika membaca doa Awal Muharam, saya solat dan baca al-Quran bukan sebab sedih, takut atau susah. Tapi terlalu bersyukur dengan apa yang saya ada. Betapa sayangnya Allah kepada saya, semua urusan dipermudahkan, ada saja rezeki yang masuk,” katanya.
Kemunculan Betty dalam sesi siaran langsung sebentar tadi turut disertai dua kakaknya iaitu Erma Fatima dan Datin Paduka Umie Aida yang terharu menyaksikan perubahan adik mereka. – K! ONLINE