KLANG – Sebuah kilang kitar semula plastik di Lorong Sultan Mohamad 1, Kawasan Perindustrian, Bandar Sultan Suleiman di sini musnah dalam kebakaran sebentar tadi.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, operasi pemadaman melibatkan 51 anggota termasuk pegawai yang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 8.22 malam sebelum tiba 15 minit kemudian.
Katanya, kesemua anggota itu merangkumi 11 buah balai dengan 12 buah jentera kesemuanya.
“Kebakaran berjaya dikawal pukul 10.51 malam dan telah memusnahkan 90 peratus kilang kitar semula plastik yang dianggarkan seluas 300 X 600 kaki persegi.
“Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan tadi.
Jelasnya, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa video memaparkan kebakaran kilang tersebut dengan kepulan asap boleh dilihat dari beberapa kawasan di daerah ini. – K!ONLINE