fbpx

Zaman Youtuber Zarul Umbrella

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZARUL UMBRELLA

DAHULU, ruang kerjanya di langit biru. Meneroka ‘dunia’ dengan melakukan perjalanan pada ketinggian beribu-ribu kaki jauh nun di atas udara selama 17 tahun lamanya.

Begitu pun, kerjaya yang sering dilabel indah dan popular tersebut sudah lama ditinggalkan penyanyi Zarul Umbrella sejak Disember 2016.

Dia mengambil keputusan meninggalkan kerjaya sebagai pramugara syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) selepas memenangi tempat ketiga Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) pada tahun sama.

Kini selepas hampir lima tahun menyimpan kemas memori kerjaya lama, Zarul mengakui tidak pernah sekali pun terdetik rasa kesal di hatinya selepas menggantung uniform pramugara.

Kedatangan pandemik yang telah merubah landskap kehidupan normal manusia di seluruh dunia memberi impak kuat, termasuk industri penerbangan sedunia yang menyaksikan banyak syarikat gergasi hampir dan sudah pun gulung tikar gara-gara kekangan untuk terbang seperti biasa.

“Kalau difikirkan, saya buat keputusan yang betul sebab jika dilihat keadaan semasa sekarang memang teruk (dunia penerbangan). Cuma kalaulah tiada pandemik sekali pun, saya tetap gembira dengan apa yang saya buat sekarang.

TIDAK pernah terpalit kontroversi selama berkecimpung dalam dunia hiburan, Zarul berkata, dia bukanlah seorang yang gemar menyimpan dendam dan lebih suka mengamalkan sikap memaafkan.

“Saya bersyukur sebab selepas berhenti jadi pramugara, saya cuba paksa diri berlakon walaupun pada awalnya saya tolak,” ujarnya dalam satu sesi temu bual secara maya baru-baru ini.

Biarpun rezekinya dalam dunia hiburan semakin rancak selepas menyertai GV3, namun sama seperti orang lain, langkah kaki Zarul juga tersekat gara-gara pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diwartakan di negara ini sejak hampir dua tahun lalu.

Enggan mengharapkan dunia seni yang entah akan benar pulih dan membolehkan artis kembali bekerja seperti biasa, Zarul tampil dengan inisiatif kedua dalam menjana pendapatan.

Dia kini sangat aktif mencipta kandungan (content) blog video atau vlog berkisar tentang dunia penerbangan dalam saluran YouTube miliknya, Zarul Umbrella.

Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin, 46, sebenarnya sudah lama aktif mencipta kandungan dengan berkongsi video-video menarik tentang kehidupan seharian, perniagaan, percutian, riadah, nyanyian dan banyak lagi.

ZARUL mengakhiri kerjayanya di awan biru pada tahun 2016.

Bagaimanapun, idea untuk mencipta kandungan yang berkisar kerjaya dunia penerbangan muncul dalam benak fikirannya demi mencari kelainan.

“Sebelum ini saya banyak buat kandungan tentang perkara lain tapi jumlah tontonan tidaklah begitu tinggi.

Tiba-tiba saya dapat idea mengapa tidak lakukan sesuatu tentang dunia penerbangan.

“Jika diikutkan di Malaysia belum pernah ada orang buat kandungan sebegini. Jadi alang-alang nak buat, saya lakukan betul-betul. Saya ada ramai kenalan dalam bidang itu, jadi dari situ sangat memudahkan saya mendapatkan bahan,” katanya lagi.

ZARUL kini sangat aktif mencipta kandungan (content) blog video atau vlog berkisar tentang dunia penerbangan dalam saluran YouTube miliknya, Zarul Umbrella.

Mata pencarian kedua

Bukan sekadar mencipta kandungan berkisarkan dunia penerbangan, Zarul turut menampilkan keunikan dengan menjemput rakan-rakan artis yang pernah bekerja dalam bidang sama suatu ketika dahulu.

Antara rakan artis yang pernah muncul selaku tetamu undangan dalam video terbitan Zarul ialah Amy Mastura, Faezah Elai, Maria Tunku Sabri, Sherry Ibrahim dan Farouk Hussain.

“Sebenarnya ramai yang nak tahu dan suka bila saya buat kandungan tentang rakan artis dan pengalaman mereka sepanjang bekerja sebagai kru kabin.

“Sampaikan ramai yang bagi cadangan untuk saya tampilkan nama-nama lain seperti Anuar Zain dan ramai lagi. Tapi disebabkan pandemik, terpaksa tunda dulu perancangan itu,” ceritanya yang kini mengusahakan perniagaan sebuah restoran di Cyberjaya.

Tanpa disedari, percubaan Zarul mendekati dunia vlogging mampu menjadi kerja sandaran baginya meneruskan kehidupan tatkala Covid-19 masih menjadi tembok penghalang untuk anak seni sepertinya bekerja.

Biarpun aliran pendapatan yang dijana tidak ‘sekencang mana’, tetapi Zarul sedar kepentingan media sosial sebagai medium baharu untuk artis sepertinya mencuba jalan lain untuk keluar daripada ketandusan pendapatan.

“Pendapatan yang saya dapat menerusi kandungan YouTube tidaklah banyak pun, kadang-kadang saja sebab tengok juga kepada subjek yang dicipta. Sifirnya mudah, kena konsisten selalu dengan kandungan menarik kalau nak tarik jumlah tontonan tinggi.

“Sebelum PKP, seronok sebab dapat keluar dan bertemu dengan orang, penonton pun suka. Tetapi sejak pandemik, semuanya berubah dan sekarang saya fokus terhadap kandungan yang dirakam secara indoor sahaja,” ceritanya yang turut menggalakkan orang lain mengambil peluang sepertinya demi menjana pendapatan.

PERKONGSIAN Zarul tentang dunia penerbangan dalam YouTubenya tetap menerima komen negatif yang mempertikaikan kesahihan info, namun dia memilih untuk berdamai dengan kritikan.

Penantian lapan tahun

Beralih tentang kariernya selaku penyanyi, vokalis yang terkenal dengan lagu Ramalanku Benar Belaka itu tampil dengan sebuah karya solo baharu untuk peminat.

Selepas tiga tahun muncul dengan lagu Remuk, Zarul kini mempertaruhkan single baharu hasil ciptaan Ajai dan penulis lirik Iman Imran berjudul Sepenuh Hati.

Menariknya, di sebalik kerjasama yang terjalin bersama Ajai, Zarul sebenarnya sudah cuba melamar komposer dan penyanyi itu sejak tahun 2013 lagi.

Katanya, ada beberapa sebab mengapa hasrat tersebut tertangguh sehinggalah akhirnya menjadi kenyataan menerusi single Sepenuh Hati.

“Saya dah cuba nak bekerjasama dengan Ajai sejak 2013 lagi tetapi ada beberapa kekangan seperti kesibukan kerja.

“Tidak sangka sekarang hajat itu tercapai dan sudah tentu saya berasa bangga kerana Ajai seorang komposer hebat,” katanya lagi.

Bercerita lanjut tentang konsep lagu Sepenuh Hati, penyanyi itu berkata, Ajai menyuntik elemen dan ‘vibe’ lagu Latin seperti karya kumpulan Umbrella sebelum ini, Bukalah Hatimu terutamanya dari segi susunan muzik, petikan gitar dan akustik.

MEMILIH melancarkan single ketika pandemik, Zarul bagaimanapun percaya, kecanggihan teknologi dan internet di hujung jari boleh dimanfaatkan sebaik mungkin sebagai medium perkongsian kepada peminat.

“Ajai mencipta lagu ini mengikut palet suara dan forte saya. Cuma ada sedikit perubahan dari segi penyampaian vokal. Contohnya teknik-teknik lama yang saya buat dalam vokal, Ajai ubah sedikit sesuai dengan lagu ini,” katanya.

Sepenuh Hati dilancarkan secara rasmi menerusi saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia pada 30 Julai disusuli dengan video lirik yang dimuat naik 5 Ogos lalu.

Proses pembikinan video muziknya sudah dibikin sejak tahun lalu berlatar belakang lokasi di Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kuala Lumpur.

Mengetengahkan konsep ala vintaj di stesen keretapi London, England dan fesyen lelaki klasik era 1950-an, video muzik Sepenuh Hati menjanjikan kelainan buat Zarul.

“Saya sangat suka dengan konsep video muzik lagu ini sebab ada elemen dan mood misteri.

“Sesuai dengan konsep jalan ceritanya yang memaparkan kisah lelaki jatuh cinta pandang pertama terhadap seorang wanita misteri.

“Penggambaran dilakukan ketika negara masih dalam PKP tapi waktu itu pergerakan dilonggarkan. Semuanya lancar walaupun beberapa kali tertunda,” ceritanya menutup perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI