fbpx

TNB teruskan tajaan biasiswa semasa pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada semua sektor ekonomi bukan penghalang untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan tajaan dermasiswa, biasiswa dan pinjaman pendidikan boleh ubah menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN).

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, syarikat utiliti negara itu komited meneruskan tajaan untuk pelajar melanjutkan pendidikan bagi menyokong usaha meningkatkan modal insan negara dan membantu keluarga B40 keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Kami terpanggil meneruskan tajaan terutama Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) kepada pelajar dari keluarga susah melanjutkan pengajian mereka di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), lebih-lebih lagi dalam suasana pandemik Covid-19 yang masih berlanjutan.

“Dermasiswa MyBF diberikan kepada pelajar tanpa permohonan dan proses temu duga, malah tiada bayaran balik. Calon yang layak dipilih daripada pengkalan data Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA – UPU Online dengan padanan dibuat dengan keluarga yang tersenarai dalam sistem Bank Data Kemiskinan Nasional eKasih,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mahdzir berkata, seramai 2,500 lagi pelajar akan menerima tajaan dermasiswa MyBF pada tahun ini yang mana jumlah tajaan tahunan setiap seorang di peringkat ijazah pertama berjumlah RM10,000, diploma RM9,000 dan sijil pula, RM6,600.

Menurut beliau, Dermasiswa MyBF adalah kerjasama TNB dengan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) untuk mengenal pasti calon layak daripada keluarga berpendapatan rendah dengan membantu pelajar di tujuh universiti awam, politeknik dan kolej komuniti terpilih.

Jelas beliau, antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Kata beliau, sejak diperkenalkan pada 2018 sehingga tahun lalu lebih 5,000 pelajar telah menerima manfaat MyBF menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) dengan peruntukan sebanyak RM66 juta.

Tambah beliau, YTN yang ditubuhkan pada 1993 telah membelanjakan lebih RM1.2 bilion melibatkan peruntukan dermasiswa MyBF (RM66 juta), biasiswa (RM597 juta) dan pinjaman pendidikan boleh ubah (RM547 juta) kepada lebih 18,500 pelajar.

“TNB turut membantu pelajar di peringkat pendididkan tinggi menerusi Yayasan Canselor UNITEN (YCU) khusus untuk pelajar-pelajar di Universiti Tenaga Nasional.

“Pada tahun ini YCU menyumbang lebih RM772 ribu bagi pembiayaan pelbagai program antaranya pembelajaran secara maya (virtual learning), penyelidikan pasca Covid-19 dan program sekolah angkat,” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI