PASIR MAS – Polis menahan sepasang suami isteri dan merampas dadah jenis heroin base serta pil kuda bernilai RM2.09 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tendong di sini pada Ahad lalu.
Sebelum operasi itu, Unit Risikan Antarabangsa Bukit Aman dan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas menahan seorang lelaki yang memandu sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Jalan Pasir Mas-Tanah Merah pada pukul 1.30 tengah hari.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, soal siasat ke atas suspek berusia 27 tahun itu mendapati lelaki itu dipercayai menyimpan dadah di rumahnya.
Polis kemudian menyerbu rumah suspek dan mendapati isterinya yang berusia 23 tahun turut berada di dalam premis tersebut.
“Pemeriksaan di dalam rumah itu membawa kepada penemuan 13.3 kilogram heroin base dan 86,000 biji pil yaba di dalam bilik.
“Siasatan awal mendapati, pasangan itu mempunyai hubung kait dengan sindiket yang telah berjaya ditumpaskan polis sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di sini hari ini.
Pasangan itu direman selama tujuh hari bermula Ahad lalu bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929