MANCHESTER – Bintang baharu Manchester United, Jadon Sancho akhirnya menyertai sesi latihan skuad utama buat kali pertama sejak melengkapkan perpindahan dari kelab Borussia Dortmund pada bulan lalu.
Sebagai rekod, United yang membeli pemain berusia 21 tahun dengan nilai perpindahan sebanyak £72.9 juta (RM426.7 juta) telah diberi cuti pelepasan selepas mewakili pasukan England pada Kejohanan Euro 2020 bulan lalu.
Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer berkata, kehadiran Sancho itu diharap dapat menguatkan jentera pasukannya yang kini sedang membuat persiapan rapi menjelang aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leeds United pada Sabtu Ini.
“Sancho sudah bersama dengan pasukan bermula Isnin dan saya percaya dia tidak akan mengambil masa lama untuk membentuk keserasian dengan rakan sepasukan tetapi mungkin apa yang merisaukan adalah tahap kecergasan selepas bercuti panjang. Jika positif, dia boleh membuat debut pada Sabtu ini.
“Mengenai seorang lagi pertahanan baharu kami, Raphael Varane mungkin akan ada sedikit kelewatan kerana dia masih lagi menjalani kuarantin sebelum boleh melakukan ujian perubatan dan mendapatkan visa pekerja,” katanya.
Mengulas lanjut, Solskjaer percaya tiga perlawanan pertama United bakal menjadi ujian buat pasukannya dalam usaha memburu kejuaraan EPL buat kali pertama sejak musim 2013 selepas mereka gagal beraksi cemerlang pada saingan awal musim lalu. – AGENSI