PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengaktifkan semula Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) sebagai salah satu strategi untuk membantu pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi menjana semula ekonomi negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, permohonan baharu akan diproses serta dikendalikan oleh Jabatan Imigresen (JIM) mulai Oktober depan setelah semua proses berkaitan perundangan selesai.
Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju untuk memperkenalkan dan menetapkan siling bilangan peserta meliputi prinsipal dan tanggungan pada satu-satu masa tidak melebihi satu peratus daripada jumlah warganegara Malaysia.
“Kerajaan memahami kegusaran dan kebimbangan rakyat mengenai kemasukan warga asing melalui Program MM2H yang dikhuatiri akan menambah lambakan warga asing di Malaysia.
“Justeru, hanya peserta berkelayakan dan tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah akan dibenarkan untuk menyertai program ini dengan tatacara permohonan program ini juga akan ditambah baik.
“Satu sistem secara dalam talian bagi tujuan permohonan, pemprosesan dan pangkalan data profil peserta MM2H akan diwujudkan untuk tujuan itu,” katanya menerusi kenyataan akhbar yang dibacakan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz ketika sidang akhbar di pejabat KDN, hari ini.
Sementara itu, Hamzah berkata, sejak 2002 hingga 2019, Program MM2H telah berjaya merangsang ekonomi negara dengan pendapatan berjumlah RM11.89 bilion secara kumulatif menerusi fi visa, pembelian hartanah, pembelian kenderaan persendirian, simpanan tetap dan perbelanjaan isi rumah bulanan.
Sebelum ini, permohonan untuk menyertai MM2H dibekukan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu yang menyaksikan dasar penutupan sempadan negara dilaksanakan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929