fbpx

Polis siasat penjualan sijil digital vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar perkongsian di Facebook berhubung penjualan sijil digital vaksinasi menerusi platform media sosial.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima satu laporan polis berkenaan aktiviti penjualan sijil digital vaksin palsu susulan satu artikel yang telah dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, menerusi muat naik tersebut, pemilik akaun Facebook berkenaan telah menyatakan bahawa sijil digital vaksin berkenaan sudah mula dijual secara online.

“Sehubungan itu, satu siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu memberikan maklumat palsu.

“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dalam kegiatan memalsukan dan menjual sijil digital vaksin tersebut.

“Pihak PDRM turut menyeru orang ramai agar membuat laporan polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan aktiviti berkenaan,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! Online semalam melaporkan tentang seorang pemilik akaun Facebook yang mendakwa terdapat individu tidak bertanggungjawab menjual sijil digital vaksin di platform media sosial berkenaan pada harga RM15 setiap satu.

Penjualan sijil digital itu dipercayai susulan terdapat permintaan daripada pelanggan yang ingin menikmati beberapa kelonggaran diumumkan oleh kerajaan kepada mereka yang telah lengkap mendapat dua dos suntikan vaksin. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI