fbpx

Moga hadiah tudung-tudung beri manfaat untuk kau Sarah – Elyana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELYANA memakai sehelai tudung berwarna merah yang merupakan hadiah pemberian Allayharham Siti Sarah.

PETALING JAYA – Penyanyi Elyana mendedahkan dia menerima banyak tudung yang dihadiahkan oleh Allahyarham Siti Sarah selepas dia mengambil keputusan berhijab dan menutup aurat sejak pertengahan Jun lalu.

Menerusi satu hantaran video yang dimuat naik dalam Instagramnya, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 33, turut berkongsi dia memakai tudung berwarna merah yang merupakan salah satu tudung dihadiahkan arwah Siti Sarah untuknya.

“Assalamualaikum. Hari ini saya pakai tudung pemberian arwah Siti Sarah. Banyak sangat tudung awak beri untuk saya. Alhamdulillah sekarang saya sudah pun bertudung. Jadi bolehlah pakai tudung yang awak bagi setiap hari. Semoga bermanfaat untuk awak dan juga saya.

“Saya sayang awak. Terima kasih Sarah,” ujarnya yang turut mendendangkan lagu berjudul Hampa, nyanyian Ari Lasso yang didedikasikan khas untuk sahabatnya itu.

Dalam hantaran sama, Elyana turut berkongsi kenangan indah yang ditinggalkan dia dan juga Siti Sarah sepanjang menelusuri karier nyanyian bersama-sama.

“Awak meninggalkan memori yang indah sepanjang perkenalan. Kita sama-sama membesar dalam industri dari remaja, sampailah berumah tangga.

“Awak masih tidak lupa untuk mencari saya dan bertanya khabar. Saya jual kuih, awak beli. Awak sangat menyokong saya. Sudahlan comel, pandai nyanyi dan baik hati pula,” katanya.

Bahkan, Elyana turut mendoakan supaya Allahyarham Siti Sarah ditempatkan yang terbaik di sisi Allah SWT.

Sekadar info, Elyana yang juga penghidap kanser limfoma sejak 10 tahun lalu ada berkongsi paparan perbualannya bersama Allahyarham yang mahu meminjam semangatnya untuk terus kuat berjuang melawan Covid-19.

Dalam paparan tersebut, dua sahabat baik itu saling mengagumi dan sentiasa memberi kata semangat di antara satu sama lain supaya cepat sihat daripada sakit.

Elyana turut meminta Siti Sarah supaya menjaga diri dengan baik, selalu gembirakan hati, banyakkan zikir dan percaya pada rencana Allah SWT.

Malah, Elyana yakin sahabatnya itu kuat dan dia sentiasa mendoakan Siti Sarah dari jauh.

Tidak terkecuali, Allahyarham juga mengingatkan Elyana supaya menjaga diri berikutan kes jangkitan Covid-19 yang semakin tinggi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI