fbpx

Kemarau emas Olimpik berterusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azizulhasni ketika memenangi pingat perak di temasya Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini/. - AFP
SHAZWAN YUSOP, WARTAWAN EKSEKUTIF

AHAD lalu, Sukan Olimpik Tokyo 2020 secara rasminya melabuhkan tirai selepas lebih dua minggu para atlet seluruh dunia memburu pingat bagi 33 sukan dalam 342 acara dipertandingkan.

Pagi hari terakhir temasya itu juga menyaksikan Malaysia berjaya mendapat sebutir pi­ngat perak menerusi jaguh lumba basikal trek, Datuk Azizulhasni Awang menerusi acara keirin.

Kejayaan itu melengkapkan kutipan pingat negara kepada satu perak dan satu gangsa. Pingat gangsa dimenangi oleh pasangan badminton lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Meskipun berjaya membutirkan dua pingat, namun kilauan emas pertama yang ditunggu oleh lebih 30 juta rakyat Malaysia masih gagal direalisasikan.

Pensyarah Pusat Sains Sukan dan Latihan, Universiti Malaya, Dr. Rizal Mohd. Razman berkata, pemburuan emas pertama negara di Tokyo 2020 tampak sempurna menerusi Azizulhasni, namun nasib masih belum berpihak kepada negara.

“Semuanya telah memberi yang terbaik termasuk atlet, jurulatih dan para pegawai terlibat. Malangnya, nasib masih belum menyebelahi kita ketika ini untuk membawa pulang emas.

“Saya dapat rasakan impian emas pertama negara semakin hampir untuk direalisasikan selepas melihatkan peningkatan prestasi ditunjukkan oleh Azizulhasni dan beberapa atlet lain,” katanya.

Rizal berkata, usaha untuk melahirkan seorang jagoan olim­pik bukanlah semudah disangka, ia memerlukan masa dan semua pihak perlu memainkan peranan.

Katanya, masyarakat di negara ini perlu menjadikan sukan sebagai budaya bagi melahirkan lebih ramai atlet yang berpotensi untuk diketengahkan.

“Mentaliti masyarakat kita masih mengutamakan akademik dan memandang enteng kepada sukan. Ini membuatkan kita sukar untuk mencungkil bakat-bakat baharu berpotensi.

“Lagi pula, pertandingan-pertandingan sukan peringkat bawah umur masih kurang. Pertandingan terhad kepada anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia sahaja.

“Sebaliknya, ia harus diperluaskan dengan persatuan turut sama menganjurkan pertandingan bawah umur,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Shaharudin Abd. Aziz memaklumkan, sudah tiba masanya negara mewujudkan biasiswa sukan.

Ujarnya, perkara tersebut te­lah dilakukan di Australia apabila ibu bapa berlumba-lumba untuk memasukkan anak mereka ke Ins­titut Sukan Australia (AIS) bagi mendapatkan biasiswa tersebut.

“Semua tanggungan pelajar ditanggung oleh AIS. Mereka akan bersekolah pada sebelah pagi dan petangnya akan berlatih sukan diminati. Pelajar ini dipilih berdasarkan kelayakan akademik dan bukan sukan semata-mata,” katanya.

Beliau berkata, bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 nanti, negara masih boleh me­nyandarkan harapan pemburuan emas dalam sukan berbasikal trek, terjun, badminton dan memanah.

“Tetapi jangan lupa, sukan-sukan kurang popular seperti angkat berat, kanu dan kayak juga harus diberi perhatian. Tiga sukan ini memerlukan kekuatan fizikal dan ia boleh dibentuk.

“Kita lihat atlet angkat berat wanita Filipina, Hidilyn Diaz yang berjaya memberi kilauan emas pertama buat negaranya pada Tokyo 2020 dan begitu juga Thailand,” ujarnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI