PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan supaya menilai semula strategi dan pengurusan kewangan mereka dalam suasana ekonomi yang mencabar kini.
Ketua Perbankan Peribadi dan Kekayaan HSBC Malaysia, Renee Bullock-Cann berkata, terdapat beberapa langkah seperti pengurangan hutang, pelaburan dan aliran tunai yang perlu difikirkan semula untuk mencapai kedudukan kewangan lebih baik.
Jelas beliau, antara strategi nya adalah menyatukan hutang-hutang yang ada dengan membuat pemindahan baki kesemua pinjaman kepada pembiayaan alternatif yang menyediakan kadar faedah lebih rendah.
“Sehubungan itu, peminjam tidak hanya dapat menjimatkan bayaran faedah, malah lebih mudah menguruskan satu bil setiap bulan berbanding beberapa bil pada tarikh pembayaran berbeza-beza.
“Selain itu, peminjam juga perlu mengetahui keutamaan mereka dalam melangsaikan hutang iaitu dengan menjelaskan bil pada kadar faedah paling tinggi, pada kebiasaannya ialah hutang kad kredit, pinjaman peribadi dan kenderaan.
“Gadai janji atau pembiayaan kediaman pada asasnya adalah jenis hutang yang lebih mudah untuk ditanggung kerana kadar faedah lebih rendah, namun bagi yang terjejas akibat wabak, mereka mungkin boleh memohon kemudahan moratorium,” katanya dalam satu kenyataan.