KOTA BHARU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyangkal dakwaan pekebun di Tanah Merah dan Jeli yang mengatakan harga rambutan di kawasan itu jatuh hingga 40 sen sekilogram.
Fama dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah membuat pemantauan terhadap pengumpul buah dan pekebun di kedua-dua daerah itu melalui panggilan telefon semalam.
Seorang pengumpul buah, Hassan Basri A. Aziz memaklumkan jualan 40 sen merupakan harga yang telah ditolak upah memanjat pokok dan mengambil buah rambutan.
“Sebagai contoh, sekiranya harga RM1 belian rambutan di ladang, kos untuk memanjat pokok adalah 40 sen dan mengambil buah 20 sen sekilogram.
“Keadaan itu menyebabkan pekebun akan mendapat harga 40 sen tanpa dia sendiri yang melakukan kerja-kerja mengutip buah,” katanya.
Kenyataan itu berkata, bagi menyelesaikan masalah lambakan rambutan, pusat operasi Fama Kota Bharu akan membeli buah itu sebanyak 4.5 tan metrik dari dua daerah tersebut serta Machang bermula esok.
Ketika ini, rambutan dijual pada harga RM1 hingga RM1.50 sekilogram pada peringkat ladang dan borong, manakala RM2 hingga RM2 bagi harga runcit.
Bagi belian di ladang melalui Fama pula dibeli pada harga RM1.50 hingga RM1.30 sekilogram. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929