fbpx

Jaga diri, keluarga ketika pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lima beradik yang kehilangan ibu bapanya selang seminggu akibat Covid-19.

BERCAKAP tentang kematian akibat pandemik Covid-19 yang kini semakin meningkat hingga mencecah angka lebih 300 pada Ahad lalu, menyebabkan ramai yang semakin bimbang dengan perkembangan ini.

Banyak pihak berasakan hidup seperti sudah tidak selamat dan mula menuding jari kepada pelbagai pihak termasuk kerajaan dalam dalam hal ini yang dikatakan tidak prihatin dengan masalah rakyat bawahan.

Ada juga mengatakan, sistem perkhidmatan kesihatan berada pada tahap kritikal ketika ini hingga menyebabkan pesakit positif lambat tiba ke hospital untuk rawatan lanjut antara punca peningkatan angka kematian harian.

Di sebalik semua itu, ada perkara lebih penting untuk diberi perhatian iaitu persediaan untuk menghindari diri daripada menjadi sebahagian statistik tersebut, selain nasib orang tersayang yang ditinggalkan seperti anak-anak kecil.

Memang benar, kita tidak dapat menghindari kematian, tetapi kita diberi ruang untuk mengelakkan diri daripada terkena penyakit seperti Covid-19.

Kisah terbaharu lima beradik berusia antara 5 hingga 21 tahun di Klang, Selangor yang menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19 selang seminggu baru-baru ini amat menyayat hati sesiapa sahaja.

Berita seperti ini amat menyentuh hati sesiapa sahaja, cuma kesannya dirasai sendiri oleh anak-anak yang masih kecil termasuk bagaimana mereka mahu meneruskan hidup selepas kehilangan tempat bergantung.

Sebagai masyarakat yang cakna dengan nasib orang memerlukan, kita mesti mengambil pusing tentang keadaan di sekeliling termasuk membantu sekadar termampu mereka yang terkesan dengan pandemik ini termasuk anak-anak yang kehilangan orang tersayang.

Dalam mendepani hal seperti ini juga, sebagai ibu atau bapa, kita mesti sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, sentiasa membasuh tangan di mana sahaja berada, selain mandi selepas pulang ke rumah kerana kita mungkin bukan sahaja merisikokan diri sendiri, tetapi juga orang tersayang termasuk anak-anak yang tidak menerima vaksin.

Akan ada yang berkata, buat macam mana sekali pun jika nak terkena Covid-19 tetap dijangkiti, tetapi kita telah berusaha untuk menjaga diri dan keluarga. Seterusnya hanya berserah kepada Allah agar kita dijauhkan daripada sebarang musibah.

Mungkin ini bukan masa yang sesuai untuk kita menjamu selera di kedai makan seperti diumumkan kerajaan bagi mereka yang tinggal di negeri yang beralih ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara dan telah menerima dua dos vaksin.

Ia sudah pasti memberikan risiko besar bukan sahaja kepada diri sendiri, malahan membahayakan keluarga kerana kita tidak tahu siapa yang dijangkiti atau pembawa virus Covid-19 terutama varian Delta yang dikatakan semakin ‘mengganas’ pada masa ini.

Justeru, jagalah diri seboleh mungkin demi keluarga dan ingatlah anak-anak yang masih memerlukan kita sebagai pelindung mereka untuk membesar dengan sihat dan selamat. Jangan jadi sebahagian daripada statistik kematian harian akibat pandemik Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI