VILLARREAL – Ketua jurulatih Villarreal, Unai Emery menyedari ancaman yang bakal dihadapi anak-anak buahnya menjelang aksi Piala Super Eropah menentang Chelsea di Windsor Park, Belfast, Ireland Utara awal pagi esok.
The Yellow Submarine meraih slot itu selepas menjuarai saingan Liga Europa musim lalu dengan menewaskan Manchester United 11-10 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 pada aksi final di Stadium Gdansk, Mei lalu.
Begitupun, Emery, 49, mengingatkan barisan pemainnya agar tidak leka berhadapan The Blues yang berupaya menewaskan lawan-lawan hebat seperti Paris Saint-Germain dan Manchester City untuk menjuarai trofi Liga Juara-Juara musim lalu.
“Anda terlelap, anda akan kalah. Jadi, kami perlu terus fokus dan sentiasa mencipta peluang dalam perlawanan itu nanti.
“Kami akan cuba memulakan saingan musim ini dengan meneruskan kejayaan terdahulu dan sekali lagi membuktikan kami mampu berada pada puncak bola sepak dunia.
“Aksi ini juga mampu memperlihatkan kemampuan kami menentang pasukan hebat seperti Chelsea. (Thomas) Tuchel adalah seorang jurulatih yang berkaliber kerana dia sudah memenangi pelbagai gelaran dalam kariernya,” kata Emery.
Sehubungan itu, Emery bertekad untuk merangkul kejuaraan Piala Super Eropah pertamanya selepas gagal melakukannya dalam dua penampilan sebelum ini. – AGENSI