SHAH ALAM – Kegagalan seorang pegawai Imigresen melaporkan tawaran rasuah RM25,000 bagi melepaskan 80 warga asing di pintu masuk negara memakan diri apabila didenda RM3,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen, hari ini.
Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Noor Azma Azmin, 39, yang mengaku bersalah atas pindaan pertuduhan pilihan yang dikenakan kepadanya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Rozilah dalam penghakimannya menjelaskan perkara itu dapat dicegah sekiranya berintegriti dan melaksanakan tanggungjawab di agensi Imigresen.
“Bukan seorang dilepaskan tetapi 80 warga asing yang sekiranya wang rasuah itu diambil dan diberikan kepada keluarga akan menjadi darah daging,” katanya.
Mengikut pindaan pertuduhan pilihan itu, ibu kepada tiga orang yang bertugas sebagai Pegawai Imigresen Gred 19 di Bahagian Kawalan Operasi, Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah ditawarkan wang suapan berjumlah RM25,000 daripada seorang wanita.
Tawaran itu sebagai upah membantu melepaskan warga China dan Pakistan daripada sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Ini seterusnya telah melanggar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam serta tertuduh gagal melaporkan tawaran rasuah kepada SPRM atau pegawai polis yang paling hampir dengan kesalahan dilakukannya di bangunan terminal KLIA, Sepang pada 2017.
Justeru, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 25 (2) akta sama.
Peguam Norliana Ali Othman mewakili tertuduh memohon hukuman dikurangkan kerana ini merupakan kesalahan pertama dan anak guamnya yang bekerja di Imigresen bermula 2008 telah digantung tugas sejak Mei lalu yang berkemungkinan akan dihentikan kerja.
“Keluarganya bergantung kepada pendapatan anak guam sebanyak RM2,500 sebulan dengan suami tiada pendapatan tetap selain mempunyai tiga anak berusia empat bulan hingga lima tahun,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd. ‘Afif Mohd. Ali memberitahu, rasuah merupakan musuh negara dengan gagal melaporkan penyogokan juga adalah satu kesalahan yang boleh menyebabkan ketirisan di pintu masuk negara. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929