NEW DELHI – Atlet India, Neeraj Chopra yang melakukan kejutan meraih pingat emas dalam acara rejam lembing di Sukan Olimpik Tokyo 2020 kini menjadi jutawan apabila bakal meraih wang tunai lebih dari AS$2 Juta (RM8.5 juta).
Kerajaan India dan syarikat swasta berjanji untuk memberi ganjaran wang tunai kepada Chopra selepas mempamerkan aksi luar biasa di temasya itu sekali gus meletakkan negara tersebut di pentas dunia.
Perejam berusia 23 tahun itu melakar sejarah India selepas menjadi atlet olahraga pertama meraih emas selepas melakukan catatan 87.58 meter Sabtu lalu.
Kemenangan itu juga menyaksikan negeri kelahirannya, Haryana turut menawarkan wang tunai AS$800,000 (RM3.3 juta) kepada Chopra atas kejayaan tersebut.
Kerajaan-kerajaan negeri lain turut mengumpulkan wang tunai sebanyak AS$400,000 (RM1.7 juta) sebagai tanda penghargaan selain sebuah syarikat pendidikan terkemuka di India turut menjanjikan AS$270,000 (RM1.14 juta) kepada Chopra.
Chopra berharap pingat emas yang diraihnya itu akan menjadi titik permulaan dan pembakar semangat kepada atlet-atlet olahraga di negaranya untuk terus bekerja keras.
“Saya merasakan kami telah kehilangan pingat selama bertahun-tahun lamanya dalam olahraga. Jadi, pingat emas ini penting untuk menaikkan semangat para atlet di India.
“Selepas muncul juara Olimpik, kini saya rasa atlet India mampu melakukannya dan mampu untuk memberi saingan di pentas Olimpik,” katanya.
Kriket India dan pasukan Liga Perdana Kriket India, Chennai Super Kings berjanji memberi AS$135,000 (RM570,000) dan Chopra turut meraih AS$100,000 (RM423,000) daripada Persatuan Olimpik India. – AGENSI