LONDON – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel enggan mendabik dada walaupun menganggap peluang skuadnya lebih cerah untuk menjuarai Piala Super Eropah berbanding Villarreal menjelang aksi di Windsor Park, Belfast awal pagi esok.
Pengendali dari Jerman berusia 47 tahun itu percaya Villarreal tetap mempunyai kelebihan tersendiri memandangkan kelab La Liga berkenaan adalah juara Liga Europa dengan menewaskan Manchester United di final musim lalu.
“Saya sangat menghormati Unai Emery dan Villarreal. Mungkin selepas ini ia (Liga Europa) boleh ditukar nama kepada Piala Unai Emery kerana beliau cukup hebat, menang empat daripada lima final yang disertainya.
“Anda perlu sentiasa berjaga-jaga apabila menentang pasukan dari Sepanyol. Lebih-lebih lagi pasukan seperti Villarreal akan mengharungi perlawanan ini tanpa apa-apa yang perlu dirisaukan.
“Namun, sudah tentu kami juga mahu memulakan saingan musim ini dengan trofi Eropah. Kami tetap mengambilnya dengan serius dan akan cuba sedaya upaya membawa pulang trofi ini ke London,” kata Tuchel.
Atas kertas, Chelsea selaku pemenang Liga Juara-Juara musim lalu, diramal tidak berdepan masalah untuk menjulang gelaran Piala Super Eropah yang kali terakhir dimenangi kelab dari London itu pada 1998.
Bagaimanapun, The Blues tidak berpeluang untuk menyenaraikan bakal penyerang baharu mereka daripada Inter Milan, Romelu Lukaku semakin hampir pulang ke Stamford Bridge dengan harga £97.5 juta (RM570.78 juta).
Lukaku hanya akan sempat bersama bakal rakan sepasukan baharunya itu untuk aksi pertama Liga Perdana Inggeris menentang Crystal Palace pada Sabtu ini. – AGENSI