fbpx

Boleh campur vaksin berdasarkan sudut saintifik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Suntikan vaksin mengikut kaedah suai padan belum boleh dilakukan dalam kalangan pengguna di negara ini kerana ia tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan Agensi Regulatori Farmasi Negara dan Kementerian Kesihatan.

Pakar virologi, Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Universiti Malaya, Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar, berkata, vaksin digunakan secara darurat di negara ini dan ia harus mengikut seperti apa yang telah diluluskan pengilang bagi mengelakkan sebarang kemungkinan tidak diingini.

“Dalam hal ini tiada kajian klinikal ke arah perkara tersebut dan tiada data yang menunjukkan perkara itu boleh atau tidak boleh dilakukan di negara ini.

“Namun dari segi sains secara saintifik kalau kita lihat sepatutnya tiada sebab ia tidak boleh dilakukan namun sebarang masalah berbangkit harus ditanggung pihak yang memberi kelulusan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, ini kerana vaksin ialah bahan farmaseutikal yang dikawal rapi dan diberi kepada individu sihat justeru sebarang risiko atau kesan sampingan akan dipertanggungjawabkan kepada pihak pengeluar vaksin dan badan yang meluluskan penggunaan satu-satu vaksin.

Kelmarin, Kosmo! melaporkan seorang wanita menerima suntikan dua jenis vaksin berbeza akibat kesilapan jururawat yang tidak memeriksa kad suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Dewan Al-Hana di Sik, Kedah Khamis lalu bagaimanapun dia dikatakan berada dalam keadaan baik dan sihat.

Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, beberapa kajian konsep suai dan padan dos vaksin sudah dilakukan di luar negara seperti di Amerika Syarikat yang memberi kebenaran mencampurkan vaksin Pfizer dan Moderna pada selang masa 28 hari.

“Di Kanada penerima vaksin AstraZeneca (AZ) untuk dos pertama boleh ditawarkan untuk menerima dos kedua dari vaksin jenis lain dan negara seperti China turut memikirkan bagaimana teknologi dari vaksin berlainan boleh meningkatkan efikasi vaksin.

“Manakala Institut Kesihatan dan Kebajikan Finland pada 14 April lalu telah menggunakan vaksin pertama jenis AZ untuk mereka berumur kurang 65 tahun dan dos kedua melibatkan jenis vaksin berbeza selain Perancis mencadangkan mereka berusia kurang 55 tahun disuntik AZ untuk menerima vaksin kedua dari teknologi mRNA,” jelasnya.

Menurutnya, kajian Universiti Oxford menyatakan mereka yang menerima vaksin yang berbeza berkemungkinan mendapatkan simptom pasca vaksinasi yang lebih ketara berbanding penerima vaksin jenis sama dengan kajian lanjut konsep dan kesan vaksin campur dan padan ini turut dilakukan syarikat pengeluar vaksin Amerika Syarikat, Novavax pada Mei lalu.

“Setiap jenis vaksin sudah disediakan jadual suntikan dos pertama dan kedua misalnya Pfizer selang tiga minggu dan vaksin Moderna ialah empat minggu dan selang masa ini telah dinyatakan dalam pakej produk masing-masing.

“Dalam hal ini terdapat kajian pengguna vaksin Pfizer dalam kalangan 172 warga emas berumur 80 tahun ke atas menunjukkan antibodi penerima meningkat 3.5 kali ganda jika mendapat dos kedua yang dilewatkan berbanding menerima dos kedua tepat tiga minggu namun ia merupakan hasil kajian peringkat awal yang belum disahkan,” jelasnya.

Sementara itu, Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia Prof. Madya Dr. Nurul Azmawati Mohamed berkata, masih banyak kajian dan data yang diperlukan untuk memastikan keberkesanan dan keselamatan penggunaan dua jenis vaksin berbeza.

“Kajian di Sepanyol yang menggunakan kombinasi vaksin AZ dan Pfizer mendapati bahawa keberkesanan vaksin selepas dos kedua adalah lebih bagus jika dibandingkan dengan mereka yang mengambil satu jenis vaksin sahaja.

“Manakala kajian di United Kingdom yang juga menggunakan AZ dan Pfizer mendapati jumlah yang mendapat kesan sampingan adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan penerima satu jenis vaksin. Dalam hal ini maklumat tentang keberkesanan masih belum didedahkan,” ujarnya.

Beliau berkata, selepas mendapat dos vaksin pertama, sistem imun memerlukan sekurang-kurangnya dua hingga tiga minggu untuk bertindak balas menghasilkan antibodi dan sel memori yang dipanggil respon primer dan selepas dos kedua, badan hanya memerlukan beberapa hari sahaja untuk bertindak kerana sistem imun tubuh sudah ‘dilatih’ semasa dos pertama.

“Kadar tindak balas adalah sangat tinggi dan cepat selepas dos kedua dan ia dipanggil respon sekunder. Apabila ada jangkitan sebenar, tindak balas juga akan menjadi sangat cepat.

“Jika kita memberikan dos kedua sebelum dua minggu, kemungkinan dos kedua itu tidak dapat merangsang respon sekunder kerana sistem imun masih berusaha untuk menghasilkan respon primer. Jadi, antibodi yang dihasilkan hanyalah sedikit seperti respon primer.

Beliau berkata, kebanyakan vaksin Covid-19 mempunyai sela masa 21 hari berdasarkan kepada keputusan kajian klinikal yang menunjukkan penghasilan antibodi adalah pada tahap optimum sekiranya dos kedua vaksin diberikan selepas tempoh berkenaan,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI