SEREMBAN – Seorang anggota polis Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol maut setelah kereta dipandunya terbabas dalam kemalangan di Kilometer 9 Jalan Bahau-Kemayan di Jempol di sini awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Datuk Che Zakaria Othman berkata, dalam kejadian pukul 2.50 pagi itu, mangsa J. Vimel, 34, yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang masih bertugas sedang memandu seorang diri dari arah Bahau menghala ke IPD Jempol.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kereta jenis Proton Persona yang dipandunya lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar tebing serta tiang elektrik di bahu kiri jalan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Jelas Che Zakaria, anggota polis yang maut itu merupakan seorang koperal dan bertugas hampir lapan tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Mangsa yang berasal dari Kuching, Sarawak meninggalkan seorang isteri dan seorang anak. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929