fbpx

Terkenang pemergian Siti Sarah, Tokti sebak nyanyikan lagu Aku Bidadari Syurgamu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI tidak dapat memyampaikan lagu Aku Bidadari Syurgamu kerana terlalu sedih akan pemergian rakan seperjuangannya, Siti Sarah.

PETALING JAYA – Tidak berjaya mengawal kesedihan terkenangkan pemergian Allahyarham Siti Sarah, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terpaksa berhenti seketika dan meminta pihak penganjur menukar lagu lain kerana tidak mampu meneruskan nyanyian lagu Aku Bidadari Syurga semasa menjayakan sebuah rakaman persembahan secara virtual semalam.

Lebih hiba, Siti dilihat sebak dan mengalirkan air mata sewaktu mendendangkan lagu berkenaan.

Pengurusnya, Rozi Abdul Razak, berkata gelaran bidadari terhadap Siti Sarah membuatkan Siti Nurhaliza tidak dapat menahan sebak ketika menyampaikan lagu berjudul Aku Bidadari Syurgamu.

“Hari ini (semalam) Siti menjalani rakaman persembahan secara virtual dan penganjur memilih salah satu lagu iaitu Aku Bidadari Syurgamu.

“Sebelum memulakan rakaman, Siti sudah memaklumkan bahawa beliau bimbang tidak dapat menyanyikan lagu tersebut kerana perasaan sedih dan sebak di atas pemergian sahabat artis, arwah  Siti Sarah Raissuddin,” tulis Rozie.

Ujarnya lagi, Siti hanya mampu memulakan nyanyian dua baris sahaja pada rangkap pertama sebelum nyanyiannya terhenti ekoran diselubungi rasa sebak.

“Lalu kami memohon kepada penganjur untuk menukar lagu dan penganjur juga sangat memahami situasi hari ini,” kata Rozi.

Rakaman momen syahdu ini bukan hanya dikongsi peminat tempatan, malah turut menjadi paparan di media serta portal di Indonesia sejak semalam.

Sementara itu, menerusi InstaStory, ibu kepada Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa itu turut berkongsi foto pelangi yang dirakam dari jendela kediamannya pada petang semalam dengan kapsyen yang menyentuh hati.

“Sambil tengok live Shuib tadi hujan turun lebat dan ada pelangi. Pemergian Sarah ada hikmah yang tersirat,” tulisnya.

Beliau juga berkongsi video kenangan Siti Sarah dan Shuib memberikan sokongan ketika Konsert Siti Nurhaliza On Tour yang berlangsung pada tahun 2019.

“Kak Iti memang tak mampu tengok video-video Sarah. Terlalu sedih,” katanya.

Semalam seluruh negara diselubungi rasa duka apabila dikejutkan dengan pemergian penyanyi Siti Sarah yang menghembuskan nafas terakhir akibat virus Covid-19 di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Siti Sarah atau nama lengkapnya Siti Sarah Raissuddin, 37, dikejarkan ke hospital berkenaan sejak Rabu lalu selepas tahap oksigen dalam badannya menurun dan dia terpaksa ditidurkan untuk menjalani pembedahan mengeluarkan bayi dalam kandungannya pada Jumaat lalu.

Jenazah Allahayrham selamat dikebumikan ketika waktu Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, semalam. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI