KAJANG – Polis sedang mengesan individu terlibat dalam kejadian pergaduhan yang dipercayai berlaku di kawasan perumahan Flat Sri Timah, Balakong di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya telah mengesan satu video yang tular di media sosial hari ini kira-kira pukul 9 pagi.
“Menerusi video berdurasi satu minit 32 saat itu memaparkan sekumpulan lelaki menggunakan senjata disyaki besi atau senjata tajam ketika bergaduh.
“Kejadian dipercayai berlaku di kawasan perumahan Flat Sri Timah, Balakong,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, motif kejadian masih dalam siasatan dan suspek yang terlibat sedang dikesan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Norhafiza Borhan di talian 03-8911 4222,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 148 kerana memiliki senjata-senjata maut serta Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana kecuaian yang boleh merebakkan jangkitan dan membahayakan nyawa. – K! ONLINE.