fbpx

Murung tanda hidup tertekan, huru-hara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
NOR AZIHAN MD GHAZALI, WARTAWAN EKSEKUTIF

Kadar kes bunuh diri atau percubaan bunuh diri di negara ini semakin membimbangkan sejak mutakhir ini.

Lebih-lebih lagi ketika negara dilanda pandemik Covid-19 apabila ramai yang terkesan teruk akibat kehilangan pekerjaan dan juga sumber pendapatan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan secara purata sebanyak dua kes bunuh diri direkodkan setiap hari di negara ini bagi tempoh 2019 hingga Mei tahun ini.

Pada Julai lalu, seorang peniaga berusia 58 tahun ditemui mati dalam keadaan tergantung pada kipas siling rumahnya di Taman Putra, Ampang.

Insiden sama turut me­nimpa seorang anggota polis yang berusia 30 tahun apabila dia ditemui mati tergantung di atas pokok di tepi sungai berhampiran Taman Kanak-Kanak, Kota Tinggi, Johor pada Jun lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan PDRM, sebanyak 609 kes direkodkan bagi tahun 2019, manakala 631 kes pula pada tahun 2020.

“Dari segi jantina, kaum wani­ta lebih tinggi dilaporkan membunuh diri iaitu seramai 1,427 orang berbanding kaum lelaki seramai 281 orang.

“Remaja berusia antara 15 hingga 18 tahun memperlihatkan golongan paling ramai terlibat kes ini iaitu 872 orang berbanding mereka yang berumur 19 hingga 40 tahun iaitu 668 orang,” ujarnya.

Jelasnya, berdasarkan statistik, kaedah bunuh diri dengan menggantung diri paling tinggi iaitu sebanyak 75.1 peratus, diikuti terjun bangunan (13.6 peratus) dan minum racun 5.7 peratus.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar menjelaskan, kelompok yang mencatat kemurungan paling tinggi adalah golongan B40 iaitu 2.7 peratus, diikuti M40 (1.7 peratus) dan seterusnya kumpulan T20 (0.5 peratus).

“Daripada statistik ini, kita boleh membuat kesimpulan bahawa masalah kewangan boleh mempengaruhi emosi seseorang, memberi tekanan yang besar, mengakibatkan isu kesihatan mental terutamanya kepada go­lo­ngan B40 yang sememangnya mempunyai tekanan sedia ada.

“Sebelum Covid-19, kelompok B40 menghadapi kesusahan dalam mencari kerja atau mendapatkan kerja dengan gaji yang bagus ketika ini. Peluang pekerjaan pula semakin kurang dan cabaran mereka bertambah besar,” katanya.

Secara tuntasnya, kejadian ter­sebut biasanya dikaitkan de­ngan tekanan hidup termasuk depresi dan kemurungan melampau disebabkan masalah kewangan, hilang pekerjaan, bebanan hutang dan masalah keluarga.

Golongan yang mengalami de­presi ini amat memerlukan sokongan kuat sama ada daripada rakan-rakan, ahli keluarga dan juga masyarakat sekeliling.

Jika anda ternampak perubahan drastik seseorang seperti mula mengasingkan diri, putus harapan, tiada selera makan dan masalah tidur, bantulah mereka selagi boleh agar tindakan pantas dapat menyelamatkan nyawa mereka.

Tiada siapa pun mahu kegagalan menyelesaikan masalah ber­akhir dengan kematian kerana ia amat perit apatah lagi apabila membabitkan kematian orang yang tersayang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI