MILAN – Juara bertahan Serie A, Inter Milan telah mengenal pasti penyerang Manchester United, Anthony Martial sebagai calon terbaik pengganti kepada penyerang mereka, Romelu Lukaku.
The Nerazzurri terpaksa merelakan penghijrahan Lukaku, 28, yang semakin hampir untuk kembali menyertai juara Eropah, Chelsea dengan yuran perpindahan bernilai £98 juta (RM574.18 juta).
Bagaimanapun, Inter perlu mencari jalan untuk memujuk United melepaskan Martial menerusi urusan pinjaman selama 12 bulan sebelum mendapatkan khidmatnya secara tetap musim depan.
Buat masa ini, Inter sedang berdepan krisis kewangan, jadi mereka tidak mampu untuk membayar harga sekitar £50 juta (RM292.95 juta) yang dimahukan The Red Devils.
Berdasarkan hubungan rapat antara Inter dan United, rundingan itu dijangka boleh menjadi kenyataan selepas mereka pernah mendapatkan khidmat Ashley Young dan Alexis Sanchez secara pinjaman sebelum ini.
Perpindahan Martial ke Itali dilihat mampu memulihkan prestasinya yang sebelum ini bergelut untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama Ole Gunnar Solskjaer.
Pemain yang lebih banyak beraksi di posisi sayap itu akan mendapat lebih banyak minit permainan bersama Inter memandangkan seorang lagi penyerang, Lautaro Martinez juga dikatakan akan berhijrah dalam masa terdekat.
Sebagai rekod, Inter yang akan memulakan aksi Serie A menentang Genoa pada 22 Ogos ini, berjaya meraih kemenangan 2-0 ke atas Parma dalam perlawanan persahabatan menerusi dua gol daripada Marcelo Brozovic dan Matias Vecino awal pagi semalam. – AGENSI