NEW YORK – Seorang ahli teori konspirasi mendakwa menemui sebuah pangkalan makhluk asing di dasar lautan selepas terjumpa satu makhluk misteri yang dipercayai entiti tersebut di sebuah pantai, lapor akhbar Daily Star semalam.
Brian Daniel dalam satu hantarannya di TikTok memberitahu dia berpendapat terdapat satu konspirasi besar-besaran kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang sedang berlaku.
Menurutnya, dia membuat keputusan untuk menyiasat asal-usul makhluk asing itu dan menjumpai pangkalan dasar laut itu.
“Perhatikan struktur bulatan di bawah air dengan bukaan di tengah.
“Apabila dilihat dari darat, kita dapat melihat sesuatu yang kelihatan seperti objek terbang tidak dikenali (UFO) di atas pangkalan makhluk asing tersebut.
“Sekiranya anda melihat pangkalan makhluk asing di dasar lautan dari jarak dekat, anda dapat melihat terdapat bukaan seluas 8.2 meter pada bahagian tengah. Adakah di situ lokasi UFO bersembunyi daripada kita?” katanya.
Daniel sebelum ini turut pernah memberitahu bahawa dia diekori oleh beberapa ejen perkhidmatan rahsia AS. – Agensi