KLANG – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPKWM) bersedia menyalurkan bantuan termasuk dari segi psikologi kepada anak-anak penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raisuddin yang meninggal dunia, semalam.
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, bantuan tersebut akan diberikan sekiranya diperlukan suami Allahyarham, Shamira Muhamad atau lebih dikenali sebagai Shuib.
“Bantuan itu tidak semestinya dalam bentuk kewangan tetapi dari segi emosi juga.
“Insya-Allah sekiranya diperlukan, kita sedia membantu anak-anak Allahyarham Sarah dan Shuib,” katanya selepas menziarahi keluarga Intan Iewanina di Flat Sri Perantau, di sini hari ini.
Semalam, negara dikejutkan dengan kematian Siti Sarah, 37, yang meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
Allahyarham meninggalkan empat cahaya iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6 dan Ayash Affan, 4 hari.
Dalam pada itu, Rina menzahirkan ucapan takziah kepada Shuib sekeluarga atas pemergian Siti Sarah sambil berharap keluarganya tabah menghadapi dugaan ketika ini. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929