PETALING JAYA – Rakyat di seluruh negara diselubungi duka apabila masing-masing menyatakan rasa sedih dan pilu atas kematian Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia semalam, selepas 65 jam bertarung nyawa melawan jangkitan Covid-19.
Siti Sarah, 36, meninggal dunia pada pukul 5.13 pagi ketika mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sejak 3 Ogos lalu.
Allahyarham dijangkiti virus berbahaya itu pada 25 Julai lepas selepas pembantu rumahnya menghidap wabak tersebut.
Lebih meruntunkan hati orang ramai apabila suami Allahyarham, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37, berkongsi detik sedih ketika membuat panggilan video ketika Siti Sarah sedang nazak di unit rawatan rapi (ICU) beberapa jam sebelum kematiannya.
“Air mata berlinangan di pipinya seolah-olah memahami apa yang kami bualkan dengannya. Kami empat beranak melihat sendiri air mata mengalir di pipi Allahyarham ketika panggilan video itu.
“Saya terus ke hospital selepas selesai majlis bacaan Yasin dan doa selamat malam tadi (kelmarin) secara maya tetapi tidak dibenarkan bertemu arwah,” katanya ketika ditemui.
Jenazah Siti Sarah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak selepas Zuhur.
Shuib turut mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk mengiringi perjalanan akhir isterinya selain membantu urusan pengebumian.
Ramai rakan artis turut hadir pada majlis itu termasuk Rahim Sepahtu, Ali Puteh, Datuk Adi Putra dan Rebecca Nur Islam.
Menurut Shuib, biarpun hatinya merasa berat, dia tetap reda kerana apa yang terjadi adalah ketentuan Ilahi.
Tambahnya, dia berjanji akan menjaga empat orang anak mereka, Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang baru sahaja dilahirkan Jumaat lalu secara pembedahan ketika arwah koma.
“Melihatkan kepada keadaan sebelum dan ketika kematian dia, saya tertanya-tanya apakah kebaikan yang telah dia lakukan kerana begitu ramai meratapi kehilangannya dan cemburu dengan cara pemergian arwah,” katanya.
Ujar Shuib, dia menerima banyak mesej dan video yang menganjurkan bacaan Yasin dan doa selamat untuk Allahyarham sejak isterinya dimasukkan ke ICU.
Kata bekas penyampai radio itu lagi, ramai ingin mengambil tahu mengenai perkembangan arwah isterinya selepas ditidurkan dan pembedahan untuk mengeluarkan bayi.
“Saya tertanya-tanya apa kebaikan dia lakukan hingga mendapat kelebihan ini.
“Sebenarnya saya sudah reda seandainya isteri saya dijemput Ilahi ketika dia kritikal pada Jumaat lalu, namun Allah beri arwah sedikit masa lagi untuk hidup,” katanya.
Tambahnya, arwah pernah cakap yang dia mahu meninggal pada hari Jumaat kerana mendapatkan khusnul khatimah dan terlepas siksa kubur.
Sementara itu, dalam satu siaran langsung, Shuib memberitahu, isterinya tidak sempat divaksin sebelum dijangkiti Covid-19.
“Di sini saya ingin mengingatkan bahawa Covid-19 itu benar. Jangan nak berlagak sebab belum kena belum tahu.
“Kalau boleh ambillah vaksin,” katanya.
Tambahnya, tiga anaknya terus meraung sebaik dimaklumkan mengenai kematian ibu mereka.
“Ketika sampai di rumah, saya cuba mengelak untuk memberitahu mereka. Selepas mandi yang begitu lama, ibu mertua menghubungi saya supaya segera memberitahu mereka.
“Selepas dimaklumkan, ketiga-tiga anak saya menangis dan meraung,” katanya yang turut sebak dalam siaran langsung itu.